Baju Seragam Sekolah Perlu Diwajibkan Pakai Semula

Baju Seragam Sekolah Perlu Diwajibkan Pakai Semula, Mak Ayah Setuju Tak?

Pemakaian baju seragam sekolah merupakan normalisasi dalam kehidupan sebagai pelajar sekolah. Inilah yang membezakan sistem pendidikan negara Malaysia dengan beberapa negara luar yang tidak menggunakan baju seragam ke sekolah. Walaupun pemakaian baju seragam ini dilihat kemas, kelonggaran telah diberikan untuk memakai baju sukan ke sekolah berikutan perubahan cuaca panas negara pada Mei lalu.

Namun, isu mengenai pemakaian baju seragam ini kembali dibincangkan kerana ada yang mengatakan bahawa pemakaian baju seragam seperti dahulu kelihatan lebih kemas, teratur dan membentuk jati diri pelajar sekolah. Bila lagi nak merasa pakai baju seragam sekolah bukan?

PEMAKAIAN BAJU SERAGAM SEKOLAH PERLU DIKEMBALIKAN ATAU TIDAK?

Menurut laporan dari Berita Harian yang membincangkan isu mengenai pakaian seragam sekolah ini, ada beberapa responden yang menyuarakan pelbagai jenis pendapat. Jika sebelum ini, pakaian untuk ke sekolah dilonggarkan kepada pemakaian baju sukan namun mungkin sudah sampai masanya untuk kembalikan pakaian seragam yang betul.

Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1985: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah (Pindaan) KPM seharusnya bertegas dalam situasi ini terutama dengan arahan yang lebih jelas mengikut situasi semasa.

Disebabkan mempunyai pelbagai pendapat, Berita Harian juga mengambil kira pendapat dari seorang guru sekolah rendah, Nur Amalina Shukri, 36 tahun. Beliau melihat Kementerian Pendidikan (KPM) perlu segera mengembalikan pemakaian baju seragam kerana ia adalah sebahagian usaha untuk membentuk disiplin diri dan jati diri murid.

Katanya, biarpun isu pakaian seragam dianggap remeh, namun ia tradisi yang diamalkan di seluruh dunia meskipun jenis pakaian digunakan mungkin berbeza. Barulah senang nak bezakan apabila berada di luar kawasan sekolah..

MUDAH SIKIT PAKAI BAJU SUKAN…

Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini ramai dalam kalangan ibu bapa yang memilih untuk meneruskan pemilihan baju sukan ke sekolah kerana lebih cepat, mudah dan sesuai dengan cuaca panas di negara ini. Kelonggaran untuk memakai baju sukan ke sekolah ini juga telah diberikan sejak Oktober 2021 lagi selepas COVID-19 melanda.

Sementara itu, bagi Presiden Ikatan Guru -Guru Muslim Malaysia (iGuru ), Mohd Azizee Hasan, berkata memandangkan sesi persekolahan hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi, KPM boleh memberi kelonggaran kepada murid untuk terus mengenakan baju sukan.

Katanya, pemakaian seragam jika mahu dikuatkuasakan kembali sebaiknya dibuat menjelang penggal baharu persekolahan pada Mac tahun depan. Ini memudahkan ibu bapa melakukan persediaan baharu dan tidak membazir.

*Apa pendapat anda? Kalau ikut pendapat penulis, wajar untuk kembalikan pemakaian baju seragam sekolah seperti biasa.

Sumber: Berita Harian

Featured image: Utusan Malaysia

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: