Muslim Family Drinking Water For Breaking Ramadan Fasting

Benarkah Nabi SAW Pernah Makan Dengan Tangan Kiri?

Soalan:

Ustaz, benarkah Nabi SAW pernah makan dengan tangan kiri, seterusnya membawa maksud harus makan dengan tangan kiri? Ada ustaz yang mendakwa Nabi SAW pernah makan kurma dengan tangan kiri baginda.

Jawapan:

Terdapat tegahan dari Nabi SAW makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri. Terdapat juga arahan atau perintah dari baginda untuk kita makan dan minum menggunakan tangan kanan. Hadis tersebut antaranya diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih beliau dengan lafaz:
لا يَأْكُلَنَّ أحَدٌ مِنكُم بشِمالِهِ، ولا يَشْرَبَنَّ بها، فإنَّ الشَّيْطانَ يَأْكُلُ بشِمالِهِ، ويَشْرَبُ بها. قالَ: وكانَ نافِعٌ يَزِيدُ فيها: ولا يَأْخُذُ بها، ولا يُعْطِي بها. وفي رِوايَةِ أبِي الطَّاهِرِ: لا يَأْكُلَنَّ أحَدُكُمْ.

Maksudnya: “Jangan sama sekali seseorang daripada kamu makan dan minum dengan tangan kirinya, kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya.”

Dalam riwayat Ahmad, dengan lafaz:

إذا أكل أحدُكم فليأكُلْ بيمينِه فإنَّ الشَّيطانَ يأكلُ بشمالِه ويشربُ بشمالِه

maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya.”

Disebabkan ada tegahan bersungguh dari Nabi SAW ini, menjadikan segelintir ulama berpandangan hukum makan dan minum dengan tangan kiri adalah haram. Pandangan ini menjadi pilihan Dr. Yusuf al-Qaradhawi seperti yang beliau nyatakan dalam risalah kecil beliau al-Sunnah wa al-Bid‘ah.

Tentang dakwaan Nabi SAW pernah makan kurma dengan tangan kiri adalah tidak benar. Kemungkinan besar dakwaan tersebut hasil dari salah faham terhadap hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Awsat dari hadis Abdullah bin Jaafar yang berkata:
وَرَأَيْت فِي يَمِين رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم قثاء، وَفِي شِمَاله رطبا وَهُوَ يَأْكُل من ذَا مرّة وَمن ذَا مرّة

Maksudnya: “Daku pernah melihat di tangan kanan Rasulullah SAW qittha’ (buah seperti timun atau tembikai) dan di tangan kiri baginda rutab (kurma basah). Baginda memakan yang ini sekali dan yang itu sekali.”

Hadis ini dhaief atau lemah seperti yang dinyatakan oleh , al-San‘ani dalam al-Tahbir Li Idhah Ma‘ani al-Taisir 7/627 dan Ibn Hajar al-‘Asqalani berdasarkan nukilan al-Munawi dalam Faidhul al-Qadir 5/195 dan al-‘Aini dalam Umdah al-Qari 21/66.

Jika diandaikan hadis seumpama ini sahih sekalipun, ia tidaklah bermakna Nabi SAW makan dengan tangan kiri, sebaliknya baginda SAW mengambil dengan tangan kanan kurma yang berada pada tangan kiri baginda. Hal ini seperti yang telah dijelaskan oleh al-‘Aini RH ketika menghuraikan hadis Sahih al-Bukhari: يَأْكُلُ الرُّطَبَ بِالْقِثَّاءِ “Baginda pernah memakan rutab dengan qittha’”, seterusnya beliau berkata:

وَصفته مَا رَوَاهُ الطَّبَرَانِيّ فِي (الْأَوْسَط) من حَدِيث عبد الله بن جَعْفَر، وَفِيه وَرَأَيْت فِي يَمِين رَسُول الله ﷺ قثاء وَفِي شِمَاله رطبا وَهُوَ يَأْكُل من ذَا مرّة وَمن ذَا مرّة، وَفِي إِسْنَاده أَصْرَم بن حَوْشَب وَهُوَ ضَعِيف جدا، وَلَا يلْزم من هَذَا الحَدِيث. لَو ثَبت أكله بِشمَالِهِ فَلَعَلَّهُ كَانَ يَأْخُذ بِيَدِهِ الْيُمْنَى من الشمَال رطبَة فيأكلها مَعَ القثاء الَّتِي فِي يَمِينه فَلَا مَانع من ذَلِك

Maksudnya: “Cara baginda memakannya berdasarkan riwayat al-Tabarani dalam al-Awsat dari hadis ‘Abdullah bin Jaafar yang berkata: “Aku melihat di tangan kanan Rasulullah SAW qittha dan di tangan kiri baginda rutab. Baginda memakannya yang ini sekali dan yang itu sekali.” Dalam isnad hadis ini terdapat rawi bernama Ashram bin Haushab, beliau seorang yang bersangatan lemah, dan tidak diambil kandungan hadis ini. Jika (diandaikan) sabit baginda makan dengan tangan kiri sekalipun, maka ia memaksudkan baginda mengambil dengan tangan kanan rutab yang ada di tangan kiri baginda, lalu baginda memakan rutab itu bersama dengan qittha’ yang sedia ada di tangan kanan baginda, tiada sesuatu yang menghalang perkara ini berlaku.”

al-Mula ‘Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih 7/2702 berkata:

وَقَدْ أَخْرَجَ الطَّبَرَانِيُّ فِي الْأَوْسَطِ بِسَنَدٍ ضَعِيفٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ قَالَ:» «رَأَيْتُ فِي يَمِينِ النَّبِيِّ ﷺ قِثَّاءً، وَفِي شِمَالِهِ رُطَبًا، وَهُوَ يَأْكُلُ مِنْ ذَا مَرَّةً وَمِنْ ذَا مَرَّةً» «اهـ. وَهُوَ مَحْمُولٌ عَلَى تَبْدِيلِ مَا فِي يَدِهِ لِئَلَّا يَلْزَمَ الْأَكْلُ بِالشِّمَالِ

Maksudnya: “Dan telah dikeluarkan oleh al-Tabarani dalam al-Awsat dengan sanad yang lemah bahawa ‘Abdullah bin Jaafar berkata: “Aku pernah melihat di tangan kanan Nabi SAW terdapat qittha’ dan di tangan kiri baginda kurma. Baginda memakan yang ini sekali dan yang itu sekali.” Riwayat ini difahami baginda menggantikan apa yang di tangan kanan baginda (menyuap keduanya secara bergantian dengan tangan kanan) agar tidak membawa maksud makan dengan tangan kiri.”

Selain itu, setakat semakan saya tidak didapati dalam kalangan ulama ada yang membuat bab berkaitan keharusan makan dengan tangan kiri, lalu mereka menyertakan riwayat Abdullah bin Jaafar ini. Sebaliknya para ulama meletakkan riwayat ini dalam bab berkaitan memakan makanan yang berbeza dalam satu masa.

Ibn Ruslan sebagai contoh dalam Syarh Sunan Abi Daud memasukkan hadis Nabi SAW memakan rutab dan qittha’ bawah bab: باب الجمع بين لونين في الأكل iaitulah “Bab Menggabungkan Antara Dua Jenis Makanan Ketika Makan.” al-Sindi dalam Fath al-Wadud Fi Syarh Sunan Abi Daud memasukkan hadis Nabi SAW makan qittha’ dengan rutab di bawah bab:بَابٌ فِي الْجَمْعِ بَيْنَ لَوْنَيْنِ فِي الْأَكْلِ: “Bab Pada Menggabungkan Antara Dua Jenis Makanan Ketika Makan.” al-Imam al-Suyuthi RH dalam al-Tausyih Syarh al-jami’ al-Sahih memasukkan hadis Abdullah bin Jaafar ini bawah bab: بَابُ جَمْعِ اللَّوْنَيْنِ أَوِ الطَّعَامَيْنِ بِمَرَّةٍ maksudnya: “Bab Menggabungkan Dua Jenis Makanan Pada Satu Keadaan”, demikian juga yang dilakukan oleh ulama lain ketika menyenaraikan hadis ini dalam kitab-kitab mereka.

Sumber: https://binsahak.com/index.php/makanan-dan-minuman/4036-sdi-1550-benarkah-nabi-saw-pernah-makan-dengan-tangan-kiri

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: