Buang Darah Untuk Rawat Gout Adalah Sia-Sia, Kenapa? Ini Penjelasan Doktor
Tular di laman sosial rawatan alternatif yang dikatakan mampu membuang biasa gout. Jarum disuntik pada kaki pesakit dan darah akan dikeluarkan dengan banyak. Ramai yang berani mencubanya walau teknik yang digunakan agak menyeramkan. Tapi, sejauh manakah kebenaran rawatan ini? Adakah selamat atau membawa bahaya?
Doktor Rusyainie Ramli tampil memberikan penjelasan agar masyarakat menjauhi rawatan sebegini kerana boleh memudaratkan kesihatan. Jumpa doktor dan dapatkan rawatan yang betul, bukannya terpengaruh dengan kaedah perubatan yang tidak masuk akal seperti ini.
Tegas beliau, tiada mana-mana rawatan alternatif pun yang berkesan bagi merawat gout. Untuk lebih jelas, jom ikuti perkongsian Doktor Rusyainie seperti di bawah.
BUANG DARAH SIA-SIA
Nama saya dah beberapa kali diseru untuk mengulas tentang teknik yang menyeramkan ni untuk merawat gout.
1. Bila saya tengok video, saya nampak jarum suntikan dicucuk ke kaki pesakit. Dengan melihat cara darah keluar melalui jarum itu, saya yakin ia adalah darah dari saluran arteri. Arteri membawa darah dari jantung ke seluruh badan dan ia berdenyut-denyut kalau kita rasa di permukaan kulit. Itulah nadi. Dekat kaki tu namanya dorsalis pedis.
2. Kristal urate berkumpul di sendi. Yang dia pergi buang darah dari arteri tu dah kenapa? Tak logik betul. Kalau nak kurangkan kandungan asid urik dalam darah dengan cara begitu, baik keluarkan semua 6L darah dalam badan pesakit tu.
3. Kulit yang merah dan bengkak yang datang sekali dengan serangan gout tu adalah reaksi tindakbalas tisu terhadap keradangan yang terjadi akibat pengumpulan kristal urate dalam sendi. Dengan buang darah, tak mungkin ia boleh mengurangkan proses itu.
4. Dalam pemikiran saya, memang saya tahu, ni keadaan tak steril. Kemungkinan untuk jangkitan berlaku tu tinggi. Memang pesakit ni naif sangat untuk terlintas pun kat akal dia bab ni. Yang tukang perawat tu tak payah cakaplah. Untuk dia buat benda merapu ni pun tak masuk dek akal.
Macam mana gout terjadi?
Bila kristal urate berkumpul di sendi dan menyebabkan radang dan sakit yang teramat sangat pada sendi tu. Kristal urate tu terhasil apabila dalam darah kita terkandung asid urik yang tinggi. Badan kita menghasilkan asid urik dalam proses metabolism purin. Purin ni sejenis bahan yang memang ada dalam badan kita.
Dalam makanan pun ada purin seperti dalam daging merah, organ dalaman dan kerang-kerangan. Minum yang beralkohol dan jus yang ada fruktos juga ada kandungan purin yang tinggi. Fruktos ni banyak dalam minuman berkarbonat juga. Fruktos gunanya nak tambah manis dalam makanan macam yogurt, biskut, gula-gula atau minuman yang saya sebut tadi. Untuk pesakit gout, pastikan baca label sebelum beli makanan ya.
PESAKIT GOUT, TOLONG ELAKKAN MAKANAN YANG ADA PURIN!
Biasanya asid urik ni larut dalam darah dan dikumuhkan oleh buah pinggang ke dalam urin. Tetapi, apabila terlalu banyak asid urik dihasilkan atau buah pinggang mengkumuhkannya dengan sikit, ia akan berkumpul. Jadi bila dah banyak, ia boleh membentuk hablur kristal di dalam sendi dan tisu di sekililingnya, maka terjadilah radang, sakit dan bengkak pada sendi tu.
Gout ni adalah sejenis keradangan pada sendi, arthritis, yang biasa saya jumpa di klinik. Ia selalu terjadi pada sendi dengan tiba-tiba tapi sangat sakit, disertai dengan kulit menjadi panas dan merah dan sendi itu bengkak.
Sendi yang selalu terlibat ialah di ibu jari kaki, buku lali, lutut, siku, pergelangan tangan dan jari tangan. Sakit tu memang paling ketara dalam masa 12 jam pertama bila gout menyerang. Sakit yang datang tu boleh berkurangan tapi ia boleh berlarutan hingga ke beberapa minggu. Ia boleh berulang-ulang. Lama-kelamaan, kalau kerap sangat kena serangan gout, sendi tu akan hilang fungsi pergerakannya.
Risiko nak kena serangan gout:
1. Diet yang mengandungi purin yang tinggi.
2. Obesiti sebab badan hasilkan lebih banyak asid urik dan buah pinggang kena bekerja lebih untuk memprosesnya.
3. Penyakit kronik macam diabetes, darah tinggi yang tak terkawal, sindrom metabolik, jantung dan buah pinggang.
4. Keturunan.
5. Pengambilan sesetengah ubat – diuretik, aspirin.
6. Lelaki selalunya dapat pada usia 30 – 50 tahun. Wanita biasanya lepas menopos.
7. Baru lepas pembedahan atau kecederaan.
Bacaan kandungan asid urik boleh dibuat dengan ujian darah. Tapi bacaan ni boleh disalah faham sebab ada pesakit ada asid urik yang tinggi tapi tak pernah kena serangan gout. Dan sebaliknya. Apa yang boleh kita buat ialah, membandingkan kandungan asid urik semasa pesakit sihat dengan bila dia dapat serangan gout. Mungkin ada peningkatan secara relatif di situ.
Bila serangan gout terjadi, biasanya doktor akan merawat pesakit dengan :
1. Ubat tahan sakit – NSAIDs
2. Colchicine – juga sejenis ubat tahan sakit yang efektif untuk merawat gout.
Yang penting mesti dapatkan nasihat doktor untuk pastikan diagnosis tu betul. Bukan sendiri diagnos, sendiri rawat.
Untuk menghalang serangan gout lagi, ada ubat yang dicipta untuk menghalang pembentukan asid urik dan memang biasanya doktor akan preskripsikan kepada pesakit:
1. Xanthine oxidase inhibitors – allopurinol
2. Febuxostat
Komplikasi gout
1. Serangan gout berulang kali – sebab tu doktor bagi ubat. Kalau kerap sangat, nanti sendi tu rosak dan fungsinya akan terhad.
2. Kalau tak dirawat gout betul-betul, kristal urate tu akan berkumpul bawah kulit jadi ketulan. Ni kita panggil tophi. Rupanya sungguh lah tak cantik. Dan ia akan lebih bengkak dan merah kalau gout menyerang.
3. Pembentukan batu karang pada buah pinggang.
Nasihat saya, jumpalah doktor untuk rawatan gout yang betul. TIADA RAWATAN ALTERNATIF PUN YANG BERKESAN untuk merawat gout.
Tolong lah jangan dedahkan diri pada kemudaratan semata-mata tukang perawat tu nampak macam orang baik, dan doktor nampak macam orang jahat. Baik dia tu ada makna tu ya.
Sumber : Dr. Rusyainie Ramli