Bukan Salah Hasbullah, Kemasukkan Fazly Mazlan Atas Faktor Taktikal: Morais
Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais tidak sesekali meragui kemampuan Hasbullah Abu Bakar meskipun pertahanan muda itu menghadiahkan ‘gol percuma’ kepada Perak ketika seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.
Jelas bekas pengendali Beira-Mar itu, keputusan untuk mengeluarkan pertahanan berusia 22 tahun itu pada awal babak kedua dan menggantikannya dengan Fazly Mazlan adalah lebih kepada faktor taktikal.
[AdSense-B]Ini kerana, skuad Harimau Selatan ketika itu ketinggalan dengan satu gol dan mereka perlu memburu gol di laman lawan bagi beroleh kelebihan menjelang aksi kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.
Malah, Morais enggan menyalahkan Hasbullah atas jaringan sendirinya pemain itu dengan dia berpuas hati apabila bekas pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu menunjukkan aksi yang sama seperti pemain lain sepanjang perlawanan terbabit.
“Hasbullah adalah seorang pemain yang profesional dan seorang pertahanan yang baik. Saya tidak rasakan dia gementar dengan perlawanan ini kerana dia beraksi sama seperti rakan sepasukan yang lain.
“Saya tidak menggantikannya kerana dia menjaringkan gol sendiri, namun ketika itu kami sedang ketinggalan. Kami perlu melakukan pertukaran segera dan memasukkan pemain lebih berpengalaman adalah satu keputusan yang wajar,” katanya selepas tamat perlawanan.
[AdSense-B]Pada aksi di Stadium Perak itu, usaha Hasbullah yang cuba menghalang hantaran Gilmar Filho kepada Zaquan Adha mengundang padah selepas dia tertampan bola masuk ke gawang sendiri untuk gol pembukaan perlawanan pada minit ke-18.
Namun, kesilapan kapten Perak, Shahrom Kalam dihukum JDT apabila pelawat meledak gol penyamaan menerusi penyerang import Lubnan, Mohammed Ghaddar pada minit ke-66 sekaligus membolehkan lawan memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan.
Mengulas lanjut aksi bertemu skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu, Morais mengakui pasukan tuan rumah tetap memberikan saingan sengit walaupun tidak dapat menurunkan barisan terkuatnya pada aksi terbabit.
“Tidak bagus untuk mengulas sama ada aksi terbabit mudah buat kami kerana Perak kehilangan beberapa pemain tonggaknya, namun jelas mereka menunjukkan persembahan yang baik tanpa beberapa pemain utama mereka,” katanya.
[AdSense-B]Sumber: Berita Harian
Baca juga: VIDEO RANGKUMAN: Piala Malaysia 2017, Perak 1 JDT 1