Jangan Awal Sangat Ucap Bye-Bye Pada Duit Gaji, Ini Tip Kawal Belanja Untuk Elak Duit Bocor
Pernah tak apabila anda pergi membeli-belah, anda terbeli barang-barang yang sebenarnya anda tak perlukan pun? Sebelum ini, saya dan isteri turut sering mengalaminya, terutama apabila membeli-belah barang-barang keperluan rumah dan makanan.
Misalnya, ketika pergi membeli-belah di pasaraya, perancangan asal nak beli lima barang sahaja, tetapi apabila pulang, baru tersedar telah terbeli lebih daripada yang dirancangkan. Lebih teruk lagi, ada terbeli barang yang sebenarnya langsung tidak diperlukan, atau masih belum diperlukan kerana masih ada stok di rumah.
Begitu juga apabila pergi membeli makanan seperti di pasar malam atau food court. Perancangan asal nak beli sedikit sahaja biar cukup sekadar mengisi perut, tetapi akhirnya terbeli sehingga penuh di tangan.
Lebih malang lagi, apabila pulang, baru makan sedikit sahaja pun dah kenyang sehinggakan ada makanan yang dibeli tidak disentuh dan dibuang sahaja. Berlaku pembaziran. Sebenarnya, situasi-situasi sebeginilah yang menyumbang kepada perbelanjaan tidak terkawal yang menyebabkan duit bocor dan mengganggu aliran tunai untuk perbelanjaan bulan tersebut.
Jika bajet yang dirancang pada asalnya memperuntukkan jumlah tertentu untuk perbelanjaan bulanan, tetapi disebabkan situasi-situasi sebegini, jumlah yang diperuntukkan adalah tidak mencukupi. Akibatnya, terpaksa korek tabung simpanan atau lebih teruk lagi, berhutang supaya dapat cukupkan peruntukan perbelanjaan bagi bulan tersebut.
Sebenarnya, ada tips mudah untuk kawal perbelanjaan ketika membeli-belah:
Tips kawal belanja #1 – Senaraikan barang-barang yang perlu dibeli
Tips nombor satu ini sebenarnya dah ramai berikan, tetapi masih sukar untuk diamalkan. Sebelum pergi keluar membeli-belah, senaraikan dahulu barang-barang yang hendak dibeli. Lihat semula barang-barang yang dah habis, yang dah capai minimum stok atau yang masih ada banyak stok.
Boleh tandakan barang-barang yang paling utama dahulu untuk dibeli, supaya tidak ada yang tertinggal. Apabila keluar membeli-belah nanti, pastikan beli barang-barang yang disenaraikan sahaja. Jika ada ternampak atau terjumpa barang-barang lain yang tidak ada dalam senarai, dan terasa ingin beli, tangguhkan dulu. Sebaliknya, catat sahaja dipertimbangkan semula dalam senarai pembelian akan datang. Mungkin selepas dipertimbangkan semula, barang tersebut bukannya satu keperluan.
Tips kawal belanja #2 – Bawa duit secukupnya sahaja
Daripada senarai barang-barang yang ingin dibeli, cuba letakkan anggaran harga bagi setiap barang. Kemudian, kira jumlah yang diperlukan. Berdasarkan kepada jumlah yang dianggarkan, bawa duit secukupnya sahaja apabila keluar membeli-belah nanti.
Mungkin boleh bawa duit lebih sedikit, takut anggaran yang dibuat tidak sama dengan harga sebenar barang yang diingini. Poin utamanya, jangan banyak terlalu banyak duit apabila keluar membeli-belah.
Apabila membawa duit yang secukupnya sahaja, kita akan lebih cenderung untuk beringat dan berhati-hati ketika mengambil barang yang akan dibeli. Jadi, tidaklah berlakunya perbelanjaan berlebihan.
Tips kawal belanja #3 – Membeli belah ketika kenyang
Saya pernah terbaca satu kajian yang menyatakan bahawa kebanyakan orang membeli-belah secara berlebihan disebabkan gagal mengawal emosi. Dan salah satu faktor yang boleh mempengaruhi emosi adalah perut; apabila lapar, emosi menjadi tidak terkawal, nafsu membuak-buak, fikiran menjadi kurang rasional dan kita cenderung untuk membeli-belah secara berlebihan.
Hinggakan barang yang tidak diperlukan pun dirasakan perlu. Dah beli satu jenis makanan, tetapi masih dirasakan tidak mencukupi dan perlu beli makanan yang lain. Ini semua disebabkan emosi tidak terkawal yang dipengaruhi perut yang lapar. Maka, untuk mengelakkan perbelanjaan berlebihan, satu cara yang mudah adalah membeli-belah ketika perut kenyang.
Sebelum bertolak ke pasaraya, pasar malam atau mana-mana tempat membeli-belah, seelok-eloknya makan dulu sedikit untuk mengelakkan rasa lapar yang keterlaluan. Saya dah cuba banyak kali cara ini, dan memang berkesan. Apabila pergi ketika perut kenyang, memang terasa kurang ‘bernafsu’ untuk membeli-belah, jadi kita boleh menumpukan kepada barang-barang yang hendak dibeli sahaja.
Saya dah amalkan banyak kali cara ini, dan memang berkesan!
Tips kawal belanja #4 – Fokus kepada barang yang hendak dibeli sahaja
Dengan berpandukan kepada senarai yang dibuat, apabila sampai ke tempat untuk membeli-belah, terus tuju ke tempat barang-barang yang diingini tersebut. Fokus untuk beli barang-barang tersebut sahaja. Kurangkan merayau-rayau atau window shopping ke tempat barang-barang lain. Takut nanti terganggu emosi apabila melihat tawaran barang-barang lain yang masih belum diperlukan.
Tips kawal belanja #5 – Rancang pembelian sekaligus
Kalau keluar membeli-belah, rancangkan supaya pembelian barang-barang yang diperlukan dilakukan sekali sahaja dan sekaligus. Contohnya, rancang beli-belah sekali sebulan, sekali setiap dua minggu atau sekali seminggu. Jadi, stok yang dibeli perlulah bertahan mengikut interval masa yang ditetapkan.
Kalau boleh, kurangkan kekerapan pergi keluar membeli-belah, kerana kebiasaannya semakin kerap membeli-belah, semakin banyak duit yang bocor. Lagipun, semakin kerap keluar, semakin tinggi juga kos pengangkutan.
Sumber : Jom Urus Duit