Tak Payah Beli Lagi, Ini Cara Buat Nutella Homemade Yang Sedap & Jimat
“Budak-budak ni sekali hadap Nutella tu boleh habis sebotol. Aku nak makan tengok-tengok dah habis je. Kalau pandai buat sendiri kan bagus. Dapat juga adjust bagi kurang manis sikit. Mau rosak gigi budak-budak tu nanti.”
Chocolate spread atau Nutella, iaitu jenama sapuan coklat yang paling biasa dibeli ini memang digemari ramai. Tak kiralah yang dewasa, remaja atau lebih-lebih lagi kanak-kanak. Makan biskut, roti atau apa saja akan terasa lebih sedap bila ada coklat kan.
Harga Nutella ni boleh tahan juga mahalnya. Maklumlah barang import. Bagi yang anak ramai, boleh pening kepala bila asyik nak kena beli seminggu sekali.
Apa kata anda cuba buat sendiri chocolate spread ala Nutella ini di rumah. Boleh guna blender biasa dan bahannya pun mudah saja. Jom ikuti resepi yang disumbangkan oleh Puan Syahid Syuhada.
RESEPI NUTELLA HOMEMADE YANG MUDAH, SEDAP & JIMAT
Berikut adalah bahan-bahannya.
BAHAN-BAHAN
- 1 cawan kacang tanah (kalau ada bajet boleh guna kacang lain seperti hazelnut, almond atau lain-lain jenis kacang ikut suka. Semua kekacang sedap dan ada rasa tersendiri.)
- 2 sudu makan serbuk koko
- Setengah cawan gula (kurangkan kalau tak nak manis)
- Secubit garam
- Esen vanila (untuk bagi wangi saja, kalau tak ada pun tak apa.)
- Setengah cawan minyak (boleh pilih apa-apa minyak terbaik yang ada di rumah. Saya guna VCO + minyak masak).
*Sukatan bahan ini untuk isian separuh balang macam dalam gambar (bekas balang mayonis).
CARA-CARA
1. SANGAI / GORENG KACANG
Mula-mula, gorengkan kacang hingga masak. Kalau tak nak kulit kacang, sebaiknya goreng tanpa minyak supaya kulitnya mudah dibuang. (Saya ok je sebab kulit kacang pun ada khasiatnya juga.) Bagi yang guna kacang almond atau hazelnut yang sedia untuk dimakan, tak perlu goreng lagi. Boleh blender terus.
2. KISAR KACANG
Masukkan kacang dalam blender dan kisar kasar dulu. Tak perlu tunggu kacang terlalu halus sebab ia akan keluar minyak dan nanti adunan tak boleh gerak dah. Jangan risau, boleh guna sudu untuk adukkan dia bila dah offkan blender nanti.
3. MASUKKAN SERBUK KOKO, GULA & GARAM
Sekarang masukkan serbuk koko, gula dan garam ke dalam blender. Tekan butang ‘on’ sampailah adunan kacang tak bergerak. Jangan risau, adukkan guna dulu dan tolakkan adunan ke tengah.
4. TAMBAHKAN MINYAK & ESEN VANILA
Kemudian, boleh dah letak esen vanila. Tambahkan minyak sedikit demi sedikit, jangan terus tuangkan semua. Kalau blender dan adunan kacang dikisar elok je pusingannya, tandanya minyak dah cukup dan tak perlu tambah lagi tau.
5. SIMPAN DALAM BEKAS
Bila tengok kelikatannya pun cantik, maksudnya dah siap! Bolehlah disimpan ke dalam bekas kedap udara. Macam saya, recycle botol mayonis saja ni. Nota: Kalau nak buat lebih banyak, sebaiknya kacang dan gula blender asing guna blender 2 mata (blender kering) dulu. Lepas tu campur semua bahan guna blender 4 mata.
MUDAHNYA, TAK PAYAH BELI LAGI!
Bila dah siap, inilah hasilnya. Suka hati nak oles kat roti atau biskut dan lain-lain. Memang mudah dan jimat kalau buat sendiri chocolate spread ala Nutella ni. Maklumlah, anak-anak suka, cepat je habis. Kalau buat sendiri pun bolehlah kita adjust ikut citarasa sendiri – sama ada nak kurang manis atau nak guna kacang favourite kita. Berbaloi dapat makan puas-puas!
Oh ya, ada lebihan coklat dalam blender tadi jangan dibuang. Boleh buat air coklat yang sedap. Tambahkan susu segar atau air saja dan blend sampai tak ada lagi coklat yang tersisa. Lazatnya! Selamat mencuba dan selamat menjamu ikut selera.
*Cara buat homemade Nutella ini disumbangkan oleh Puan Syahid Syuhada. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran.