Cara Memanggang Yang Betul dan Lebih Sedap. Inilah 10 Petua Perlu Anda Tahu
Ada pelbagai cara penyediaan makanan yang melibatkan proses menggoreng, merebus, mengukus ataupun memanggang. Dalam banyak cara ini memanggang selalunya seronok dilakukan apabila melibatkan aktiviti keluarga, malahan penyediaan makanan secara memanggang dikatakan lebih sihat berbanding jika digoreng dengan minyak.
Sememangnya memanggang nampak senang dan mudah. Tetapi jika anda tidak tahu teknik yang betul, hasilnya nanti sekadar biasa-biasa aje. Tidak dinafikan memanggang menggunakan arang atau tempurung kelapa, lebih enak berbanding menggunakan ketuhar.
Teknik, cara dan rasanya juga sangat berbeza. Ada 10 petua yang harus ketahui sebelum proses memanggang dilakukan antaranya:
- Pilih rak memanggang yang sesuai. Jika memanggang ikan, rak memanggang seeloknya jenis yang lebar. Boleh juga dibuat sendiri dengan membuat tungku dari batu bata dan letakkan dawai empat segi besar di atasnya. Teknik begini biasa dipratikkan ketika berkelah ataupun berkhemah di hutan.
- Pastikan rak memanggang dibersihkan terlebih dahulu. Bakar arang sekurang-kurangnya 30 minit sebelum memanggang. Ketuhar juga perlulah dipanaskan dan suhunya sekitar 200°C dalam 10 minit.
- Sapu atau renjiskan sedikit minyak pada rak memanggang agar bahan yang dipanggang tidak melekat pada rak. Carilah dulang yang mempunyai lekukan yang tidak terlalu dalam agar percikan minyak tidak terkeluar. Jika terlalu dalam pula, minyak akan terkumpul.
- Perap ikan, ayam atau daging, lebih kurang dua jam sebelum proses memanggang. Ini bertujuan agar rempah ratus terus mesra, sebati dan akan lebih sedap.
- Jangan menggunakan terlalu banyak gula dalam perapan, kerana gula ini akan cair dan akan menyebabkan ikan atau ayam melekat pada rak memanggang.
- Jika panggang seekor ayam, letakkan ayam dalam keadaan meniarap. Selepas masak, barulah angkat dan alihkan di bahagian lain, agar cairan akan turun ke bahagian dadanya pula.
- Jika memanggang udang, pilihlah udang yang besar. Cucuk pada lidi sate (yang telah direndam dengan air, agar lidi tidak mudah patah) agar udang tidak membengkok. Udang tidak perlu dipanggang terlalu lama kerana ia cepat masak.
- Balik-balikkan ikan atau ayam ketika memanggang supaya sebati masaknya. Sesekali renjiskan minyak menggunakan daun pandan atau batang serai, agar wangi baunya.
- Kerang, remis, kepah atau lala juga jenis cepat masak. Sekiranya cengkerangnya terbuka luas, ini menandakan ia sudah masak.
- Kerap renjiskan daging dengan minyak agar ia tidak kering. Tetapi jika daging yang mempunyai banyak lemak, tidak perlu berbuat sedemikian kerana lemak daging sudah cukup membekalkan cairan. Ingat! Jangan memanggang daging terlalu lama kerana daging akan kering dan liat.
Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: