Cara Solat Sunat Aidiladha, Niat & Teks Khutbah 2021 – JAKIM
CARA SOLAT SUNAT AIDILADHA
Hari Raya Aidiladha merupakan sambutan besar bagi umat Islam dalam mengenang peristiwa Nabi Ibrahim dengan puteranya Nabi Ismail.
Di samping mengerjakan ibadah korban, umat Islam sangat digalakkan untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.
Rasulullah s.a.w menyeru semua umat Islam tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda agar bersama-sama mengerjakan solat sunat Aidiladha bagi menegakkan syiar Islam.
Bagi membendung wabak Covid-19 yang masih menular di negara ini, had jemaah di Masjid dan Surau telah ditetapkan.
Jika tidak dapat berjemaah di Masjid atau Surau, kita boleh mengerjakan solat sunat Aldiladha di rumah. Solat di rumah juga dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara ahli keluarga.
HUKUM SOLAT SUNAT AIDILADHA
Menurut perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan, solat sunat Aidiladha merupakan amalan sunat muakkad yang sangat dituntut untuk disempurnakan.
Rasulullah S.A.W juga tidak pernah melepaskan untuk menunaikan solat sunat Hari Raya sejak ia mula disyariatkan hingga akhir hayatnya.
RUKUN & SYARAT SOLAT SUNAT AIDILADHA
Rukun-rukun & syarat solat sunat Aidiladha adalah sama seperti solat fardhu lima waktu, kecuali terdapat beberapa tambahan dalam solat tersebut.
Perkara sunat tersebut ialah bertakbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua. Takbir tambahan ini perlu diselang-selikan dengan bertasbih.
Solat sunat ini ditunaikan sebanyak dua rakaat dan boleh dilakukan secara bersendirian atau berjemaah.
Kredit Foto : hmetro.com.my
WAKTU SOLAT SUNAT AIDILADHA
Solat Sunat Aidiladha dikerjakan pada 10 Zulhijjah. Waktu mengerjakannya pula ialah antara ketika mula terbit matahari sehingga tergelincirnya matahari.
Namun, adalah sunat untuk solat ini dikerjakan segera bagi memberi peluang untuk ibadah korban dilaksanakan.
Kredit Foto : johorpress.com
CARA SOLAT SUNAT AIDILADHA
Cara Solat Sunat Aidiladha adalah seperti berikut :
Rakaat Pertama :
1. Lafaz Niat
a) Lafaz niat solat sunat Aidiladha (untuk Imam)
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksud : Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai Imam kerana Allah Taala.
b) Lafaz niat solat sunat aidiladha (untuk Makmum)
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksud : Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
c) Lafaz niat solat sunat Aidiladha (bersendirian)
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksud : Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat kerana Allah Taala.
2. Bertakbir
Setelah lafaz niat, lakukan “takbiratul Ihram” dengan menyebut “ Allahu Akbar”. Sertakan niat di dalam hati.
3. Membaca Doa Iftitah
Kemudian, sunat untuk diteruskan dengan membaca doa iftitah.
4. Takbir 7 kali & Bertasbih
Kemudian, lafazkan takbir sebanyak tujuh kali. Bagi yang bersolat jemaah, biarkan imam mulakan takbir pertama kemudian diikuti oleh makmum.
Takbir tersebut perlulah diselang-selikan dengan bacaan tasbih dengan nada perlahan. (Takbir tujuh kali, tasbih enam kali)
Bacakan tasbih :
سُبْحَانَ اللهِ، وَالحَمْدُ ِللهِ، وَلا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
Maksud: Maha suci Allah, segala pujian tertentu bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.
5. Teruskan Solat Sehingga Selesai Rakaat Pertama
Sampai ke takbir ketujuh, teruskan solat seperti biasa dimulai dengan bacaan Al-fatihah dan surah lazim. Lakukan rukuk dan sujud seperti biasa sehingga rakaat pertama selesai.
Rakaat Kedua
1. Takbir Pertama
Mulakan dengan lafaz takbir “intiqalat” iaitu takbir bagi permulaan rakaat kedua.
2. Takbir 5 Kali & Bacaan
Kemudian, lafazkan takbir sebanyak 5 kali.
Seperti dalam rakaat pertama, takbir tersebut perlulah diselang-selikan dengan bacaan tasbih dengan nada perlahan. (Takbir 5 kali, tasbih 4 kali)
Bacakan tasbih :
سُبْحَانَ اللهِ، وَالحَمْدُ ِللهِ، وَلا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
Maksud: Maha suci Allah, segala pujian tertentu bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.
3. Teruskan Solat Sehingga Selesai Rakaat Kedua
Setelah selesai takbir, teruskan solat sunat dengan bacaan Al-Fatihah & surah-surah lazim sehingga lengkap rakaat kedua.
Setelah tamat rakaat kedua, maka sempurnalah solat sunat Aidiladha.
KHUTBAH AIDILADHA 2021 – JAKIM
Setelah selesai solat Sunat Hari Raya Aidiladha, imam bolehlah membacakan khutbah di rumah untuk keluarga masing-masing.
Sebagai panduan, anda boleh merujuk teks khutbah yang dikeluarkan oleh JAKIM seperti berikut:
HIDUPKAN LAGI SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA DENGAN AMALAN SUNAT
Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu sambutan kemenangan bagi umat Islam. Selain mengerjakan ibadah korban, kita juga digalakkan untuk menghiasi hari raya Aidiladha dengan amalan sunat.
Antara amalan sunat yang boleh dilakukan ialah mandi sunat Aidiladha pada pagi hari, memakai wangi-wangian bagi lelaki, menjamah makanan selepas solat sunat Aidiladha, bersedekah dan perbanyakkan bacaan takbir, tahmid, dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
Semoga dengan usaha yang kita dalam menyempurnakan ibadah dan perbanyakkan amalan sunat dapat mendekatkan diri kita kepada Allah.
Sumber :
https://ms-my.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/posts/amalan-sunat-pagi-aidil-adha/1252122448171655/