Curi cincin emas kakak ipar nak bayar hutang
Ampang Jaya: Tindakan terdesak seorang penghantar makanan mencuri dua cincin emas milik kakak iparnya di Perumahan Polis Taman Keramat Permai di sini atas alasan perlukan duit untuk membayar hutang, mengundang padah apabila ditahan polis Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari wanita berusia 33 tahun jam 2.30 petang apabila tiba di rumah mendapati pintu depan terbuka.
Menurutnya, wanita itu kemudian masuk membuat pemeriksaan dan mendapati dua cincin emas yang diletakkan di atas penapis air hilang.
“Dia kemudian tampil membuat laporan polis dan susulan itu lelaki berusia 19 tahun itu yang juga adik ipar mangsa ditahan di Jalan Ampang Putra.
“Turut dirampas satu resit pajakan kedai serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.