Pulau2

Damainya bercuti di pulau nan indah

Ada macam-macam lokasi percutian boleh diterokai. Antaranya pantai, gunung, bukit, tasik dan tidak kurang ramai memilih bandar besar sebagai destinasi untuk dikunjungi.

Lazimnya, apabila memilih tempat bercuti, ramai selesa ke kawasan yang kaya dengan keindahan alam sekitar bertujuan menikmati udara nyaman dan suasana indah kawasan turut memberi kedamaian.

Bagi Presiden Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz, beliau selesa menghabiskan masa bercuti bersama keluarga berkunjung ke pulau dengan mengoptimumkan kunjungan melakukan aktiviti snokerling atau menyelam.

Katanya, leka menikmati pemandangan ikan berwarna-warni, berenang riang dan deretan batu karang cantik antara pemandangan mendamaikan antara pengalaman menarik percutian yang indah.

Melihat semua itu dapat melupakan bingit bunyi hiruk-pikuk di ibu kota dan asap kenderaan, sekali gus kesibukan tugasan seharian seakan-akan lenyap, lega seketika apabila berada di dasar lautan.

Sebagai orang bandar percutian bersama keluarga di beberapa pulau sebagai cara terbaik menenangkan minda dengan meneroka keindahan alam semula jadi.

“Pada saat itu, kita sepuas-puasnya melakukan pelbagai aktiviti, hadkan penggunaan gajet dan telefon pintar supaya percutian lebih bermakna.

“Kami sekeluarga gemar bercuti di pulau. Baru-baru ini saya ke Pulau Redang sempena Hari Kebangsaan lalu. Masing-masing teruja melakukan aktiviti snorkeling, melayan ombak, terpesona melihat anak ikan dan batu karang pelbagai warna,” katanya.

Norhimah berkata, beliau sekeluarga memilih kepulauan kecil di Redang kerana tempat berkenaan masih tidak tercemar dek pembangunan, malah kejernihan airnya menampakkan dasar laut, sungguh mempesona.

“Terdapat beberapa pulau yang tidak ada dalam pakej kecuali jika ada permintaan pengunjung. Kami lihat, batu karang masih banyak dan cantik terpelihara.

“Yang penting anak terhibur dan saya sentiasa menyahut cabaran rakan yang mengatakan wanita berusia 60 tahun tidak perlu menyelam, layaknya berehat saja di rumah,” katanya.

Sebelum ini, Norhimah berkata, mereka sekeluarga pernah mengunjungi beberapa pulau di Indonesia dan Thailand, namun masih tidak boleh menandingi keindahan Pulau Redang.

Beliau menjelaskan keindahan pulau di negara ini terkenal dan menjadi lokasi pilihan pelancong domestik dan asing untuk meneroka.

Selain Redang, ada lebih 30 pulau menarik di Malaysia antaranya ialah Pulau Kapas, Pulau Perhentian, Pulau Rhu Hentian, Pulau Lang Tengah dan Pulau Gemia di Terengganu.

Di Johor pula, pulau pilihan pengunjung antaranya Pulau Tinggi, Pulau Rawa, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil, Pulau Kukup dan Pulau Besar. Pahang pula terkenal dengan Pulau Tioman, Pulau Pangkor (Perak), Pulau Langkawi (Kedah) dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Justeru beliau, juga akan meneroka pulau lain di Sabah, antaranya ialah Pulau Mataking, Pulau Sipadan, Pulau Lankayan dan Pulau Mabul antara yang sentiasa menjadi idamannya untuk ke sana.

Info

7 pulau cantik namun kurang dikunjungi

* Terengganu – Pulau Rawa, Pulau Gemia, Pulau Susu Dara dan Pulau Tenggol;

* Kedah – Pulau Bunting dan Pulau Songsong;

* Johor – Pulau Tinggi di Mersing.

Pulau bertaraf dunia

* Sabah – Pulau Sipadan, Pulau Kapalai, Pulau Lankayan, Pulau Mabul, Pulau Mataking;

* Terengganu – Pulau Redang, Pulau Perhentian;

* Pahang – Pulau Tioman;

* Kedah – Pulau Langkawi.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: