Devan tetap merendah diri selepas tewaskan JDT
JOHOR BAHRU: Jurulatih MIFA, K Devan menegaskan skuad kerdilnya masih belum layak diletakkan pilihan sekalipun melakukan kejutan dengan mengaibkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Malaysia di laman keramat lawan, malam tadi.
Sambil bangga dengan kemampuan anak buahnya menumbangkan barisan Raul Longhi, Devan menegaskan beliau masih tidak mahu meletakkan harapan tinggi untuk pasukannya pergi jauh dalam penampilan sulung saingan berprestij itu.
“Malah, kejayaan ini bukan bermakna saya perlu mengubah sasaran yang diletakkan sebelum ini, sebaliknya berharap pemain terus memperagakan aksi terbaik masing-masing dan meraih pengalaman beraksi menentang pasukan terbaik.
“Saya akui kami adalah pasukan kerdil berbanding tiga lagi pencabar iaitu JDT, Kelantan dan Kedah yang masing-masing pernah menjulang trofi berprestij itu. Jika kami mara, ia satu bonus kepada pasukan,” katanya.
Dalam aksi malam tadi, Kpah Sherman meletakkan pelawat di depan pada minit ke-18 sebelum Fernando Marques menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-69.
Namun, pelawat yang melancarkan serangan balas pada minit ke-80, memerangkap benteng tuan rumah selepas gerakan menarik L’Iman Seydi membuka ruang untuk Bae Beom-guen melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Farizal Marlias.
Menurut Devan, taktikal yang digunakan lebih terarah untuk bertahan dan mengakui sepanjang 90 minit perlawanan penguasaan jelas milik JDT, tetapi pemain menjalankan tugas yang diarahkan apabila kerap memintas setiap bola hantaran di sebelah sayap kiri dan kanan.
“Formasi 5-4-1 yang dipraktikkan juga membuahkan hasil selepas saya menggunakan dua pemain tengah bertahan kerana kita tahu JDT begitu kuat di posisi tengah dan tindakan menyekat pemain tengah mereka ternyata memberi kesukaran menyusup masuk ke dalam kotak penalti.
“Kita juga berjaya menutup ruang di posisi sayap kiri dan kanan JDT dan mereka tampak sukar untuk melepasi bahagian itu. Pemain juga tidak gentar untuk berdepan barisan penyerang JDT dan berjaya menidakkan gerakan berbahaya barisan serangan tuan rumah.
“Saya juga memuji persembahan penjaga gol, Mohd Muhaimin (Mohamad) yang tangkas menepis dan menangkap malah sentiasa berada di posisi terbaik bagi menghalang percubaan berbahaya barisan serangan JDT,” katanya.
Sumber: Berita Harian