Diskaun 50 peratus tunggakan sewa PPR
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor hari ini mengumumkan pelaksanaan diskaun 50 peratus bayaran tunggakan sewa Program Perumahan Rakyat (PPR).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu diluluskan pada Mesyuarat EXCO dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, Rabu lalu.
Katanya, tawaran diskaun 50 peratus itu diberikan kepada penyewa sah yang berdaftar dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bahagian Perumahan membabitkan tunggakan dari Jun tahun ini dan bulan sebelumnya.
“Terdapat lapan PPR membabitkan 8,279 unit yang disewakan pada kadar RM124 sebulan di negeri ini dan jumlah tunggakan bagi kesemua PPR ini sehingga 30 Jun lalu adalah sebanyak RM1.30 juta.
“Diskaun 50 peratus ini diberikan kepada penyewa berdaftar mengikut kategori golongan sasar iaitu miskin dan miskin tegar yang disahkan Pejabat Daerah, asnaf, fakir dan miskin yang disahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pesakit kronik yang disahkan Kementerian Kesihatan.
“Permohonan boleh dibuat selama sebulan bermula 1 hingga 31 Ogos ini dengan mendapatkan borang daripada Pejabat SUK Perumahan atau melayari laman portal erumah.johor.gov.my,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi Inovatif dan Kreatif dalam Pembelajaran (i-CITE) 2018 di sini, hari ini.
Pelaksanaan diskaun 50 peratus bayaran tunggakan sewa PPR itu adalah sebahagian daripada 10 janji Pakatan Harapan (PH) Johor dalam 100 hari pentadbirannya.
Dzulkefly berkata, tawaran diskaun itu hanya diberikan kepada unit perumahan PPR, tidak termasuk unit kedai atau perniagaan.
“Kelulusan permohonan akan diberikan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh permohonan dibuat penyewa dan bayaran tunggakan yang sudah ditolak diskaun perlu dibayar selewat-lewatnya 31 Disember ini secara sekali gus atau ansuran.
“Bagi mereka yang masih enggan melunaskan tunggakan sewa, kita (kerajaan negeri) akan membuat satu dasar penguatkuasaan baharu bagi mengatasi berulangnya isu penyewa tidak mahu membayar sewa bagi kediaman PPR ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian