Ong Kim Swee

Harimau Malaya ke Taipei tanpa Safawi

NILAI: Berikutan faktor kecederaan dan kepenatan, jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terpaksa mengetepikan khidmat empat tonggak skuad negara yang beraksi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu.

Pada sesi latihan rasmi bermula hari ini di Stadium Kompleks Sukan USIM, hanya 23 pemain melaporkan diri selepas Rizal Ghazali dari Kedah, Safawi Rasid, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad (Johor Darul Ta’zim) mendapat pelepasan Cheng Hoe.

“Menerusi laporan doktor, Rizal mengalami kecederaan lutut, Syafiq minta pelepasan kerana baru menimang cahaya mata, Safawi terlalu banyak perlawanan jadi kami bagi dia rehat, yang penting saya nak dia sedia pada Piala AFF nanti.

“Adam juga keletihan jadi kami bagi dia pelepasan. Saya rasa 23 pemain sudah cukup, saya harap pemain yang lapor diri ini bebas daripada kecederaan dan dapat beri tumpuan 100 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Skuad Harimau Malaya akan berlatih selama dua hari sebelum bertemu Taiwan di Taipei, Jumaat ini dan Kemboja di Phnom Penh pada 10 September bagi aksi persahabatan antarabangsa untuk persiapan menghadapi Piala AFF, November depan.

Turut kelihatan pada sesi latihan kali ini sembilan pemain baharu terdiri daripada penjaga gol Farizal Marlias (JDT), Fazly Mazlan (JDT II), Akhyar Rashid (Kedah), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Mahalli Jasuli (PKNS FC), Syahmi Safari (Selangor) dan Azzizan Nordin (Sabah).

“Seperti yang anda tahu, beberapa pemain baru dipanggil iaitu Matyo (Norshahrul), Farizal, Nik Akif dan Azzizan. Yang penting saya tak mahu pemain tertekan dan saya mahu pemain pamer prestasi yang baik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: