Hariss Akui JDT Berdepan Cabaran Getir
JOHOR BAHRU: Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun mengakui mereka berdepan cabaran sengit apabila menentang Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat ini.
Justeru pemain kebangsaan Singapura itu memilih untuk mengelak daripada tekanan dan memberi fokus kepada persiapan skuad Harimau Selatan menjelang pertembungan dua pasukan tangga teratas liga itu.
Apa pun dia tidak menafikan dalam tempoh singkat JDT berdepan tugas getir apabila beraksi dalam pertembungan kelompok teratas liga selepas menentang Perak dan menang 2-0, Sabtu lalu dan kini berdepan skuad Tok Gajah yang kini menghuni tangga kedua.
“Ia perlawanan penting bagi kami dan beraksi di tempat sendiri, sudah tentu aksi JDT-Pahang akan lebih menarik kerana kedua-dua pasukan berada di tangga dua teratas dan saya jangkakan perlawanan yang menarik disajikan.
“Kemenangan 2-0 ke atas Perak, Sabtu lalu menambah keyakinan bukan saja kepada saya malah rakan sepasukan yang tampak memberi komitmen tinggi mahu menebus apa jua kesilapan ketika berdepan The Bos Gaurus yang saya sendiri akui kami terpaksa bekerja keras untuk menang.
“Walaupun kami pernah tewas 0-3 ketika saingan Piala FA, ia memberi pengajaran berguna untuk tidak selesa ketika beraksi di laman sendiri. Jadi kami harus berwaspada dengan corak permainan Pahang,” katanya.
Rekod cemerlang JDT di laman sendiri tercalar selepas Patrick Cruz mencipta hatrik untuk memastikan Pahang menang 3-0 pada suku akhir kedua Piala FA, April lalu dan keputusan itu sememangnya perit untuk ditelan namun skuad kendalian Raul Longhi harus melupakan detik hitam dan kembali fokus untuk aksi liga.
Malah Hariss sendiri tidak mahu mengingati kekalahan skuad Harimau Selatan itu dan ingin memberi sepenuh tumpuan kepada aksi berdepan skuad kendalian Dollah Salleh sekali gus mengidam untuk menebus kekecewaan lalu.
Ditanya mengenai ketiadaan Natxo Insa yang lama tidak diturunkan kerana kecederaan, Hariss mengakui kelibatnya sedikit sebanyak memberi impak di posisi tengah namun terpaksa melupakan seketika khidmat pemain itu.
“Natxo sudah menjalani latihan bersama kami dan saya optimis dia akan kembali menguatkan JDT bagi mengharungi saingan liga. Untuk pertemuan lawan Pahang saya tidak pasti dia akan diturunkan atau tidak. Kalau diturunkan lagi bagus,” kata Hariss.
Sumber: Berita Harian