Safawi Vs Uitm Fc 1

Hatrik Safawi Sekat Hajat Besar UiTM FC

Penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT),  Safawi Rasid membuktikan dia layak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jorge Pereyra Diaz selepas melakar hatrik untuk membantu pasukannya menang tipis 3-2 ke atas UiTM FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada Gonzalo Cabrera, penggempur berusia 21 tahun itu memastikan malam ini miliknya apabila meledak hatrik untuk menghalang kebangkitan UiTM FC.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan mengesahkan tempat ke suku akhir dan meneruskan perjuangan mereka untuk memburu Piala FA selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 2016.

[AdSense-B]

Walaupun tewas, anak buah Wan Mustaffa Wan Ismail itu seharusnya berbangga apabila menunjukkan peningkatan pada musim ini terutamanya selepas mengambil kira mereka dibelasah 5-0 dan 4-0 dalam dua edisi Piala FA sebelum ini.

Pada aksi terbabit, tiada percubaan berbahaya dapat dihasilkan dalam tempoh 10 minit pertama sebelum gerakan menarik menerusi hantaran Natxo Insa disudahkan menerusi satu rembatan kencang oleh Safawi untuk gol pembukaan JDT pada minit ke-11.

JDT terus mengasak dan seharusnya menambah lagi gol tetapi ketangkasan Mohamad Soffuan menafikan percubaan kencang Natxo pada minit ke-23 sebelum mengecewakan Safiq Rahim pada minit ke-31.

Pemburuan gol kedua JDT berhasil apabila sepakan percuma Safawi terbias mengenai pertahanan tunah rumah sekali gus menerjah jaring ketika separuh masa pertama berbaki empat minit.

Selang seminit, penjaga gol JDT Farizal Marlias menafikan percuban satu lawan satu Dao Bakary, namun akhirnya tewas di penghujung babak pertama menerusi Lucas Ramon yang menggelecek bekas penjaga gol kebangsaan itu sebelum meledak ke gawang kosong untuk mengurangkan defisit gol.

Babak kedua bersambung, UiTM FC memperkemas corak permainan dan berjaya menekan serta mematahkan serangan JDT sehingga menyebabkan pelawat bergelut untuk mencipta peluang bagi memburu gol ketiga.

[AdSense-B]

JDT akhirnya mampu menarik nafas lega apabila berjaya meledak gol ketiga selepas Safawi melengkapkan hatriknya menerusi voli hasil hantaran Azrif Nasrulhaq empat minit berselang.

Namun jaringan ketiga JDT belum mampu merentap semangat UiTM FC dan mereka sekali lagi berjaya mengurangkan defisit menerusi penyudah kemas Faiz Mohd Bandong yang mudah menewaskan Farizal pada minit ke-89.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Raul Longhi Puji Aksi Anak Watan

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: