Ibu Menyusu Tetap Boleh Mengandung Walaupun Tak Period. Ini 5 Perkara Perlu Faham
“Ish, kenapa badan rasa tak sedap je. Loya-loya je rasa tekak sejak 2-3 hari ni. Dah macam orang mengandung pulak. Tapi takkanlah… Aku dah 6 bulan tak datang haid sejak menyusukan baby.”
Lewat datang haid adalah sesuatu yang normal bagi ibu menyusu, terutamanya bagi yang menyusukan bayi secara ekslusif. Ada yang tak datang haid hampir setahun lamanya, tapi tahu-tahu dah mengandung lagi. Bagaimana hal ini terjadi? Jom ketahui beberapa perkara tentang ovulasi, haid dan kaitannya dengan kehamilan semasa menyusukan bayi.
BOLEHKAH MENGANDUNG KALAU TAK DATANG HAID? INI 5 PERKARA PERLU FAHAM
1. HAID TAK NORMAL SEMASA MENYUSU BADAN
Selepas habisnya darah nifas yang keluar selepas bersalin, mungkin ada yang tertanya-tanya bilakah datangnya haid pertama mereka. Bagi ibu yang menyusukan bayi, kitaran haid anda mungkin akan menjadi tunggang terbalik pada beberapa bulan terawal. Menurut Parents.com, kondisi seperti ini dikenali sebagai Lactation Amenorrhea, iaitu keadaan di mana ibu menyusu mengalami haid yang sedikit atau tiada haid langsung.
Keadaan ini mungkin menyebabkan sesetengah ibu menganggap mereka tidak akan mengandung selagi belum datang haid. Namun, tanggapan ini sama sekali salah kerana telah banyak kes kehamilan tetap berlaku walaupun belum datang haid sejak selepas bersalin.
2. PROSES OVULASI TETAP BERLAKU
Apa yang anda perlu faham, kehamilan akan tetap berlaku apabila tubuh mengalami proses ovulasi, iaitu tempoh di mana tubuh wanita membebaskan telur untuk disenyawakan.
Dengan berlakunya haid, seseorang boleh menganggarkan tempoh ovulasi iaitu sekitar 2 minggu sebelumnya. Namun bagi seseorang yang tidak datang haid, proses ovulasi masih boleh berlaku. Dan sekiranya berlakunya hubungan seksual dalam tempoh ini, kebarangkalian untuk mengandung tetap ada.
Foto Kredit: astroglide.com
3. TANDA OVULASI WALAUPUN TIDAK HAID
Jadi, bagaimana mengenal pasti sama ada tubuh kita sedang berovulasi? Mungkin anda boleh memerhatikan beberapa tanda seperti ini:
- Lendiran pada vagina: Terutamanya lendiran yang berwarna jernih, kenyal dan nipis.
- Suhu tubuh meningkat: Jika anda kerap menyukat suhu tubuh setiap hari, anda akan mendapati suhu tubuh akan meningkat sedikit semasa tempoh ovulasi.
- Kotoran seakan haid: Apabila haid mula datang, ia selalunya tidak berlaku seperti biasa. Kebanyakan wanita akan mengalami haid yang sedikit yang berupa palitan discaj berwarna coklat atau merah jambu. Discaj ini menandakan anda telah kembali subur.
4. KEBARANGKALIAN UNTUK HAMIL LEBIH TINGGI JIKA…
Walaupun penyusuan badan boleh bertindak sebagai perancang semulajadi untuk mencegah kehamilan, namun ia kurang berkesan dan anda masih boleh mengandung, terutamanya jika
- bayi anda berusia lebih 6 bulan
- anda telah datang haid selepas bersalin
- bayi anda tidak menyusu dengan kerap (direct feeding) pada waktu siang dan malam
- bayi sudah mula makan makanan pelengkap
5. BILAKAH HAID AKAN KEMBALI NORMAL?
Masa bagi seseorang mendapatkan haid seperti sediakala adalah berbeza bagi setiap wanita. Lazimnya, lebih awal haid anda kembali, lebih cepatlah anda boleh kembali hamil.
Walaubagaimanapun, ada ibu menyusu yang akan mengalami beberapa simptom haid seperti rasa senggugut, loya,sakit punggung, dan tak sedap badan – tapi darah haidnya tak ada pun.
Jika ini berlaku, barangkali tubuh anda sedang bersiap sedia untuk mengembalikan kitaran haid kepada normal, tetapi penyusuan badan sedang ‘menahan’ proses kesuburan daripada berlaku.
JADI, PERLU BERJAGA-JAGA SEKIRANYA BELUM BERSEDIA
Maka, seandainya anda belum terfikir untuk menambah zuriat dalam masa terdekat, pastikan anda menggunakan teknik perancang keluarga yang sesuai.
Selalunya selepas bersalin, jururawat di klinik kesihatan ada memberi nasihat serta pilihan untuk menjarakkan kehamilan. Tempoh 2 tahun adalah tempoh yang paling ideal bagi anda menjarakkan kehamilan kerana ia memberi masa untuk rahim benar-benar pulih di samping membina semula kesediaan mental si ibu.
PERNAH MENGANDUNG SEBELUM DATANG HAID? JOM KONGSIKAN PENGALAMAN ANDA!
Apapun, jika tetap dikurniakan rezeki sebelum benar-benar bersedia, cubalah menerimanya dengan hati yang terbuka. Yakinlah bahawa akan ada rezeki buat mereka yang telah ditentukan oleh Yang Maha Pencipta.
Pernah rasa ‘down’ bila dapat tahu mengandung sebelum datang haid? Jom kongsikan pengalaman anda di ruangan komen ini. Semoga dapat memberi panduan dan membantu para ibu di luar sana!