Igor Zonjic

Igor Zonjic Tak Hirau Reputasi JDT

Tidak gentar dengan reputasi barisan penyerang skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), pertahanan kental skuad Terengganu FC (TFC),  Igor Zonjic melaungkan amaran akan melakukan kejutan terhadap lawan itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada Sabtu ini.

Ketika kedua-dua pasukan teratas Liga Super itu bakal membuat perhitungan dalam aksi kelima dengan bekas pemain kebangsaan Montenegro berketinggian 1.85 meter itu tidak memikirkan status lawan sebagai pasukan terbaik Liga Malaysia (Liga M).

Dia sebaliknya berikrar tampil dengan aksi lebih cemerlang bagi mematahkan setiap gerakan pemain skuad kendalian ketua jurulatih baharu, Raul Longhi yang pasti mengidam untuk mengutip tiga mata dalam aksi dijangka sengit itu.

[AdSense-B]

Pemain berusia 27 tahun kelahiran Belgrade, Yugoslavia itu juga tidak rela pintu gol pasukannya dibolosi di depan penyokong sendiri walaupun sedar bukan tugas mudah buatnya dan rakan sepasukan menyekat rangkaian penyerang skuad Harimau Selatan diketuai Luciano Figueroa itu.

“Sasaran pasukan adalah untuk mencatat kemenangan dan secara peribadi saya dan rakan sepasukan sudah bersedia menyekat rangkaian penyerang JDT daripada membolosi gawang skuad kami biarpun lawan tanpa kehadiran penyerang sensasinya, Jorge Pereyra Diaz.

piala malaysia 2017 jdt vs terengganu junior

“Selain itu, prestasi terbaik pasukan yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga turut menambah lagi keyakinan kami untuk menundukkan mereka dan semestinya kami tidak gerun dengan reputasi skuad itu sambil berharap kemenangan akan berpihak kepada kami, ” kata Igor Zonjic yang kali pertama beraksi dalam pentas Liga M musim ini.

Pertembungan skuad Penyu dengan Harimau Selatan itu yang kini masing-masing menghuni dua tangga teratas Liga Super bakal menjadi tumpuan kerana kedua-duanya berpeluang memimpin carta liga dengan mengutip sembilan dan lapan mata.

Jika TFC berjaya mencatat kemenangan ataupun seri, pasukan tunggal yang masih belum tewas itu mampu merampas kembali takhta teratas liga.

[AdSense-B]

Mengulas lanjut, Zonjic berkata dia tetap waspada dan tidak akan mengambil mudah pertemuan itu meskipun beraksi di laman sendiri kerana skuad Harimau Selatan mempunyai kekuatan dan aura tersendiri.

“Sebagaimana kita tahu JDT adalah pasukan yang mantap di setiap posisi selain wakil Malaysia dalam saingan Piala AFC dan ini sudah pasti tidak mudah buat kami apatah lagi rekod terbaik pasukan itu menjuarai liga empat tahun berturut-turut.

“Justeru kami perlu memperagakan aksi lebih 100 peratus terutama bagi mengekang asakan penyerang lawan bagi memastikan impian kami mencipta kemenangan dan mengekalkan rekod tanpa kalah berhasil, ” kata pertahanan tengah itu.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Lawan Terengganu Lagi Penting – Raul Longhi

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: