Ini Dugaan Allah Sebab Apa Yang Saya suka, Allah Ambil. Erra Fazira Kongsi Saat Terpisah Dengan Anak
Menerusi program Di Balik Idola, bintang terkenal itu meluahkan cerita yang terbuku di hati. “Alhamdulillah dengan jejaka E saya dianugerahkan Allah anugerah terindah, iaitu anakanda saya Engku Aleesya.
“Pertama kali dia berada di dalam dakapan saya, pertama kali mata bertentang mata mengalir air mataku. Tapi perkahwinan saya sekali lagi kecundang,” katanya seperti yang dipetik.
Sementara itu, pelakon filem Maria Mariana ini juga turut memberitahu, perkara yang paling sedih pada ketika itu ialah apabila terpaksa berpisah seketika dengan anak tersayang.
“Paling sedih bila terpisah dengan anak. Rasanya ini dugaan Allah sebab apa yang saya suka, Allah ambil. Bukan sesuatu yang sangat mudah untuk saya terima berpisah dengan anak.
“Orang tak tahu..kenapa dia ni berpisah, dia tak ambil anak. Ada kisah di sebaliknya. Tidak ada ibu yang berpisah dengan anak, berkongsi. Biarlah…orang kata kita berkorban untuk kebahagiaan anak bersama bapanya,” kongsi Erra dalam linangan air mata.
“Saya tak boleh dengar, sangat sensitif bila orang bercerai kemudian bergaduh rebutkan anak. Saya sensitif sebab saya dah lalui ketika kecil, saya dipisahkan dari bapa. Jadi bila berlaku pada saya, saya berazam tidak mahu lalukan itu pada anak saya.
“Anak saya wajib terima kasih sayang daripada kedua-duanya. Walaupun salah seorang akan sakit. Jadi dalam hal ini saya sakit tidak mengapa, asalkan anak saya bahagia. “Alhamdulillah sehingga ke hari ini, anak saya bahagia dan matang dari usianya dalam menerima keadaan ini,” katanya lagi,
Pada masa sama, Erra turut mengakui dia lebih rela untuk melihat kebahagiaan anak dengan menerima kasih sayang daripada semua pihak.
“Saya dapat bersama anak dalam seminggu tu dua hari. Sehingga ke hari ini bila terpisah dengan anak saya menangis. Ia bukan suatu yang mudah. Tetapi demi kebahagiaanmu anak, mom korbankan. Biar dia terima kasih sayang yang secukupnya.
“Saya yakin Allah itu adil. Saya yakin aturan Allah itu baik. Mungkin tak baik untuk saya tapi baik di masa hadapan,” jelas Erra panjang lebar.