Bahagia

Tip Rumahtangga Bahagia Walaupun Isteri Bergaji Lebih Tinggi Dari Suami

Beberapa hari lepas, terpana saya seketika mendengar sayu ceramah di kaca tv. Ceramah yang bertajuk “Mencari pasangan hidup” itu pada awalnya saya dengar hanya dengan ekor telinga sambil-sambil menyiapkan kerja di dapur. Tapi saya sangat terpanggil apabila terdengar, satu ucapan yang disebut Ustaz tersebut.

”Carilah suami yang bergaji lebih tinggi dari kita, barulah sekufu namanya. Begitu banyak kes perceraian melibatkan hal wang ringgit berlaku di kalangan masyarakat kita masa kini. Ramai isteri-isteri yang sudah bertahun berkahwin, meminta perceraian atas sebab si suami tidak memberi nafkah yang secukupnya dan si isteri perlu menanggung sebahagian besar perbelanjaan keluarga”

Mendengar kata-kata ustaz itu, saya menjadi sedikit terasa hati dan juga marah. Kenapa? Kerana realitinya pada zaman ini sememangnya wanita lebih ramai berkelulusan tinggi dari lelaki. Dan dimanakah wanita-wanita bekerjaya dan bergaji lebih besar ini ingin mencari lelaki yang “setaraf” denganya, walhal golongan lelaki sebegini amat kecil jumlahnya.

Dalam satu artikel yang di tulis di dalam sebuah akhbar tempatan, 68% dari pelajat IPTA adalah wanita, manakala hanya 32% lagi adalah lelaki. Dari fakta ini dapat kita huraikan yang di masa hadapan, lebih ramai golongan wanita akan mendapat pekerjaan bergaji tinggi berbanding lelaki kerana faktor kelulusan pendidikan itu sendiri.

Jadi bagaimana, wanita-wanita ini ingin mencari (berebut?) bakal suami yang bergaji lebih besar dan sekurang-kurangnya setaraf dengannya. Berapa ramai juga lelaki yang mnceburi bidang perniagaan dan berjaya mendapat gaji lebih lumayan berbanding graduan-graduan ini di usia yang muda? Apatah lagi golongan melayu?

Saya amat khuatir sekali, sekiranya gaji dijadikan kayu ukur untuk memilih pasangan, akan berlakulah fenomena, andalusia dan bujang lapok dikalangan masyarakat melayu kita.

Bukalah minda anda….

Sebenarnya, jika dilihat di sekeliling kita, ramai isteri yang bergaji/berpendapatan lebih tinggi dari lelaki. Dan kebanyakan mereka juga hidup bahagia dan aman walaupun tidak begitu mewah. Kunci kejayaan untuk bahagia dalam situasi “WIFE IS THE BREAD WINNER” ini adalah SEDAR, IKHLAS dan BERTOLAK ANSUR.

SEDAR

Bagi pasangan-pasangan tidak sama taraf “pendapatan” yang ingin berkahwin, perlulah berbincang sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Bakal si suami dan si isteri, perlu jujur dalam hal ini.

Suami perlu berterus terang tentang pendapatan beliau dan bakal isteri perlu sedar, sekiranya dia berkahwin dengan lelaki tersebut, dia juga akan menyumbang sebahagian dari pendapatannya untuk keluarga. Kadang-kadang lebih dari suami. Dan nasihat saya, rancanglah perbelanjaan keluarga secara kasar, sebelum berkahwin, supaya kedua-dua pihak sedar akan kemampuan dan tanggungjawab masing-masing.

Dan suami juga, apabila sudah berkahwin, perlu sedar yang sebahagian tanggungjawab menyediakan nafkah telah dibantu oleh isteri. Suami perlu banyak bersyukur kerana dikurniakan isteri yang sanggup membantu meringankan beban anda itu. Oleh itu, si suami perlu ringan tangan membantu dari segi hal rumahtangga pula. Anda bekerja, isteri anda pun bekerja. Jadi apabila dirumah, suami dan isteri perlu sama-sama juga berusaha menguruskan rumah tangga. S

i isteri masak, si suami basuh pinggan. Si isteri basuh kain, si suami menyidai. Si isteri menggosok baju, si suami melipat baju. Si isteri mengemas rumah, si suami membersih bilik air. Benda-benda ringan seperti ini sebenarnya akan jadi berat sekiranya dilakukan seorang diri. Isteri mana tidak mengomel, kalau si suami, sudahlah makan minum pun tidak ditanggung sepenuhnya, kemudian jadi boss besar di rumah sambil goyang kaki. Itu tidak adil dan zalim namanya! Dan ini bukan layan suami terhadap isteri, tetapi layanan tuan kepada hambanya!

IKHLAS

Perkara ini berlaku terhadap isteri yang pada satu tahap dia tidak lagi mahu berkorban wang ringgit untuk keluarganya. Saya pernah berjumpa seorang rakan yang tidak mahu berkongsi wang dalam urusan rumah tangga. Baginya duit dia hak dia. Suami yang perlu menanggung segalanya.

Nasib baik, rakan saya ini mendapat suami yang baik. Si suami yang bergaji kecil ini, sedaya upaya membanting tulang, bekerja siang malam, mencari OT, demi untuk menampung hidup keluarga di bandar metropolitan ini.

Mana kala si isteri, masih lagi dengan sikap enjoy macam anak dara, membeli belah tanpa berfikir panjang dengan duit gaji bulananya. Lebih-lebih lagi apabila sudah berkahwin, sewa rumah dan barang dapur dibiayai sepenuhnya oleh suami. Jadi bertambah mewahlah si isteri.

Tapi sampai satu tahap, si suami, makin lama makin tidak bertenaga. Stress dan juga letih bekerja mencari nafkah. Akhirnya selepas dua tahun berkahwin, si suami jatuh sakit. Dan yang mengharukan, si suami tadi menangis teresak-esak mengenangkan perbelajaan bulanan tidak akan cukup kerana dia tidak berkerja OT bulan itu akibat jatuh sakit.

Pada masa itu, barulah si isteri sedar akan pengorbanan si suami. Isteri mana sanggup melihat suaminya menangis kerana tekanan.. Sejak dari itu, barulah si isteri dengan ikhlas hati membantu si suami dari segi kewangan.

Pengajarannya ialah, kita perlu seikhlas hati membantu suami sekiranya diperlukan. Sanggupkah kita membiarkan suami seorang diri terbeban dengan perbelanjaan rumah yang tinggi masa kini. Memang bukan tanggungjawab kita.

Tidak berdosa sedikit pun kiranya kita tidak membantu. Tetapi bayangkan betapa besarnya pahala seorang isteri yang seikhlas hati membantu suami. Dan Insyaallah, bila suami berbahagia dengan kita, syurgalah balasannya untuk kita.

BERTOLAK ANSUR

Perkara utama ini sangat perlu dalam mana-mana hubungan. Suami isteri perlu saling bertolak ansur dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tiada manusia yang sempurna, tetapi manusia boleh berusaha untuk menjadi lebih baik. Suami yang bergaji kecil, perlu sedar isteri yang membantu anda bukan atas satu kewajipan, tetapi atas dasar kasih sayang.

Jangan pula si suami terus lepas tangan dari menyara keluarga kerana isterinya bergaji besar. Sepatutnya, duit gajinya itu semua diserahkan untuk perbelanjaan keluarga. Jangan pula gaji yang sedikit itu sebahagiannya dilaburkan pada bekalan rokok, belanja pergi memancing, menukar ‘sport rim’ kereta dan sebagainya. Dan jangan jadi ‘king control’ duit isteri. Sebanyak mana isteri anda sanggup bagi, terimalah dengan rasa bahagia. Selebihnya, jangan ditanya. Itu hak si isteri.

Si isteri pula, jangan memperkecilkan peranan suami walaupun gajinya kecil. Bagaimana tinggi darjat dan besar gaji anda di luar rumah, di rumah suami tetap ketua yang memimpin keluarga. Usah pula meninggi suara dan berlagak sombong dengan si suami. Setiap keputusan besar yang melibatkan hal rumah tangga perlu dibincangkan dengan suami.

Tanam juga dalam hati, kalau ingin berbelanja (membeli barang-barang peribadi), adakah ianya satu keperluan atau pembaziran. Adakah duit itu lebih bermanfaat jika dibelanjakan untuk keluarga. Adakah keluarga anda akan terbeban sekiranya anda terlebih berbelanja.

Isteri yang bergaji lebih besar, perlu bijak mengatur perbelanjaan untuk keluarga dan diri sendiri. Bantu suami anda bukan sahaja dari segi wang ringgit tapi juga dari segi pengurusan perbelanjaan keluarga itu sendiri. Perbincangan antara suami isteri perlu dilakukan bukan bergantung kepada keputusan sebelah pihak sahaja.

Jadi, kepada gadis-gadis diluar sana, usah begitu gusar mencari pasangan yang gajinya lebih tinggi dari anda. Carilah suami yang baik dan bertanggungjawab, kerana kalau yang tidak bertanggungjawab, gaji yang berjuta ringgit sebulan pun belum tentu dapat membahagiakan anda.

Contohilah, Siti Kadijah isteri pertama Rasulallah s.a.w kita. Biarpun beliau pada asalnya jauh lebih kaya dan berharta dari Baginda Rasullah s.a.w, tetapi beliau dengan seikhlas hati menerima Nabi sebagai suami.
🙂

Soalan Gaji Isteri Lebih Besar Dari Gaji Suami – Ustaz Azhar Idrus

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: