Izham Tarmizi Sedia Jadi Benteng Terakhir JDT
Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan menegaskan sedia menggalas tugas menjaga gawang Harimau Selatan apabila berdepan Kedah pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 4 November ini.
Izham yang sekadar memanaskan bangku simpanan ketika final 2014, bagaimanapun menyerahkan kepada ketua jurulatih, Ulisses Morais sama ada mahu menurunkannya atau Haziq Nadzli sebagai benteng terakhir pasukan.
[AdSense-B]Walaupun masih ada masa lebih seminggu lagi, dia mengakui keputusan awal jurulatih itu dalam membuat keputusan mampu membantu dirinya dan Haziq membuat persiapan terutama aspek kekuatan mental, apatah lagi, ia penting bagi memastikan mereka dapat mempamerkan aksi konsisten.
“Jika pada musim 2014, kita tewas menerusi sepakan penalti 5-3 kepada Pahang, mungkin musim ini rezeki memihak JDT. Malah saya dan rakan berjanji akan berusaha membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Johor selepas kali terakhir pada 1991.
“Apapun, saya akui Kedah bukan mudah ditumbangkan dan mereka sudah tentu akan turun habis-habisan untuk mempertahankan piala yang dimenangi pada tahun lalu dan saya jangkakan ia perlawanan yang hebat pada final nanti.
“Ketika final pada 2014, saya tidak beraksi sebaliknya Al-Hafiz Hamzah yang ditugaskan menjaga gawang. Bagaimanapun, kali ini saya harus berada di tahap yang terbaik dan bersedia memberi persembahan terbaik jika terpilih dalam kesebelasan utama,” katanya.
[AdSense-B]Walaupun aksi final tampak semakin hampir namun Izham mahu melupakan debaran itu seketika dan memberi tumpuan pada aksi terakhir saingan Liga Super berdepan skuad Helang Merah di Stadium Darul Aman, Sabtu ini yang dianggapnya ibarat perlawanan `pra final’.
Malah dia mengakui sekiranya kemenangan mampu dilakar dalam aksi terakhir liga itu nanti, pasti meningkatkan lagi motivasi setiap pemain JDT bagi berdepan Kedah sekali lagi pada aksi final Piala Malaysia.
“Sama ada Kedah menurunkan barisan terkuat atau barisan kedua, kami tetap akan beri tentangan kerana agak malang jika menamatkan saingan liga dengan kekalahan dan misi kita mahu raih tiga mata terakhir,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: Kedah Dan JDT Berkongsi 72,000 Tiket Yang Diperuntukkan