Chamba

Jangan takut, ibarat tentera turun ke medan tempur – Chantha Bin

KUALA TERENGGANU: Ibarat tentera turun ke medan tempur, pemain Terengganu FC (TFC) kini akan mempertaruhkan segala yang dimiliki demi memastikan impian ke pentas akhir Piala Malaysia menjadi kenyataan.

Anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu menjanjikan aksi yang terbaik dan langsung tidak gentar untuk bertempur dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, Sabtu ini.

Kata-kata semangat itu dilaungkan pemain import skuad Penyu yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Les Bleus Bawah 17, Thierry Chantha Bin menjelang separuh akhir kedua.

TFC hanya membawa bekalan tipis ke Larkin selepas hanya menang 1-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada 6 Oktober lalu.

“Kami mahu mencipta sejarah dan membanggakan penyokong. Selepas kali terakhir muncul juara pada 2001, kita tidak menang lagi piala ini, jadi kita akan ke sana seperti askar nak berperang dan akan memberikan segalanya menang.

“Kami tiada tekanan berbanding JDT,” kata Chantha Bin. “Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk mengulangi pencapaian mara ke pentas akhir dan menjulang trofi itu seperti musim 2001.

Pemain kebangsaan Kemboja yang memulakan karier bersama RC Strasbourg di Perancis itu mengharapkan dia mampu mencipta sejarah peribadi bersama TFC selepas meninggalkan kelab Electricite Du Cambodge (Liga Kemboja).

“Ini kali pertama saya bermain dalam Liga Malaysia (Liga M) dan sudah tentu saya mahu abadikan kenangan indah mara ke final dan seterusnya merangkul piala.

“Kelebihan kita adalah semangat juang yang tinggi malah kita juga saling berkorban seperti satu keluarga dan berharap penantian skuad kami untuk mara ke final akan berakhir musim ini,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: