JDT Belum Impikan Kejuaraan Liga – Longhi
Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi menepis tanggapan betapa pasukan itu semakin selesa untuk menjuarai Liga Super untuk lima musim berturut-turut sebaliknya menegaskan betapa saingan masih berliku dan mencabar yang menanti pasukan itu.
Beliau berkata walaupun JDT sudah melebarkan jarak mata iaitu lapan mata tatkala mengumpul 28 mata ketika Perak kini berada di tangga kedua dengan mengutip 20 mata namun kedudukan JDT masih belum selamat apabila perjalanan saingan liga masih jauh.
[AdSense-B]Malah katanya, aksi menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Ahad ini begitu sukar memandangkan pasukan kendalian Datuk K Rajagobal begitu liat untuk dijinakkan dan akan memaksimumkan latihan sepanjang dua hari bagi memperbaiki apa jua kelemahan yang dikesan ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada aksi di Larkin, malam tadi.
“Saya enggan bercakap tentang lapan mata di depan dan kekal di tangga teratas kerana ia akan melalaikan kita, sebaliknya apa yang saya ingin katakan kami masih belum selamat dan perlu mengharungi satu demi satu perlawanan untuk buru kemenangan,” katanya.
Mengulas mengenai kemenangan ke atas NS, pengendali kelahiran Argentina itu mengakui betapa masih ada kelemahan dalam skuad itu taktala beraksi konsisten pada babak pertama apabila menguasai perlawanan dengan gerakan menarik serta umpanan bola tepat.
Namun beliau agak kecewa pada aksi babak kedua apabila pemain JDT kerap kehilangan bola dan ia beri tekanan buat mereka yang tampak bersusah payah untuk mengawal permainan dan hanya selepas Gonzalo Cabrera menjaringkan gol kedua pada minit ke-75, barulah pemain kembali beraksi konsisten.
Katanya, walaupun beraksi di laman sendiri , tetapi JDT tetap berdepan kesukaran apabila pasukan lawan beraksi secara bertahan dengan meletak sekurang-kurang lapan pemain di posisi pertahanan dan pasti menyulitkan perancangan taktikal yang dirancang.
Beliau juga tampak lega betapa kelibat Nazmi Faiz Mansor dan Marcos Antonio yang dikeluarkan pada hujung babak kedua tidak mengalami kecederaan serius sebaliknya hanya kekejangan otot berpunca daripada beraksi di padang basah dan tidak berdepan masalah untuk diturunkan pada aksi menentang PKNS FC, Ahad ini.
Ditanya mengenai persembahan pemain import baharu JDT, Jorge Silva dan Harry Novillo yang kurang memainkan peranan pada aksi menentang NS, Longhi menegaskan ia penampilan kedua buat kedua-dua pemain itu dan perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan bola sepak Malaysia.
“Mereka baru bersama JDT dua minggu sebelum aksi menentang Selangor, 12 Mei lalu dan hanya membuat penampilan dua perlawanan, sudah tentu agak kekok dengan corak permainan bola sepak Malaysia.
[AdSense-B]“Saya percaya mereka akan serasi dengan gaya bola sepak Malaysia dan apa yang penting mereka sudah mula menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT dan falsafah pasukan itu bagi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini,” kata Longhi.
Sumber: Berita Harian