Morais Dan Fazly

JDT Belum Mahu Berasa Selesa – Morais

Johor Darul Ta’zim (JDT) masih belum berasa sempurna daripada segenap aspek walaupun berjaya membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia, iaitu kelebihan tiga gol ke Larkin selepas menang 4-1 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pengendalinya, Ulisses Morais, melihat pasukannya tidak beraksi konsisten sepanjang perlawanan, terutama pada babak awal sehingga membuka ruang kepada lawan untuk merapatkan jurang.

[AdSense-B]

Masih perlu mengharungi 90 minit, Morais masih menghormati Melaka yang disifatkan masih ada kemampuan untuk mengejutkan skuad Harimau Selatan itu.

“Kami bermula dengan baik pada 15 minit pertama, namun Melaka yang mendapat sentuhan pemain dan jurulatih baru berjaya menyekat cara permainan yang kami hajati.

“Masih ada perlawanan kedua di tempat kami dan saya masih hormat akan kemampuan lawan untuk berdepan kami,” kata pengendali dari Portugal itu.

Melaka pula tidak menafikan perjudian menurunkan beberapa pemain yang belum cergas sepenuhnya menjadi punca mereka dibolosi menerusi dua gol pantas pada babak kedua.

[AdSense-B]

Antara pemain terbabit ialah Jasmin Mecinovic dan Khair Jones, yang beraksi di barisan pertahanan yang kelihatan bergelut untuk mengekalkan kecergasan sehingga penghujung permainan.

“Kami menurunkan pemain pertahanan yang baru kembali daripada kecederaan yang panjang.

“Beberapa pemain tidak begitu cergas tetapi kami perlu menurunkan mereka malam ini (tadi) untuk mendapatkan kecergasan bagi menghadapi perlawanan selepas ini,” ujar pengendali Melaka, Eduardo Almeida.

Sumber: Stadium Astro

Baca juga: Statistik 2017: Penampilan, Minit Permainan Dan Jaringan Sehingga 16/09/2017

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: