Safawi Vs Mifa

JDT buat perhitungan dengan Pahang di suku akhir

SHAH ALAM: Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan MIFA 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan JDT muncul juara kumpulan dengan sembilan mata untuk bertemu naib juara Kumpulan D Pahang pada saingan kalah mati.

Manakala MIFA kecewa gagal mengiringi JDT ke pusingan seterusnya apabila Kelantan memintas kedudukan kedua dengan mengalahkan Kedah 2-0.

Sebaik wisel permainan dibunyikan, JDT yang diambang penyingkiran awal terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan tuan rumah.

Penyerang muda Safawi Rasid berjaya meloloskan diri pada minit ke-6 namun sepakannya dihalang pemain pertahanan MIFA.

Kelab Harimau Selatan itu kemudian terlepas peluang keemasan apabila tandukan Fernando Marquez terkena palang selepas menerima hantaran Safawi di minit ke-35.

Biarpun banyak bertahan, MIFA yang dibimbing K Devan hampir mengejutkan pasukan pelawat namun sepakan pemain import Korea Selatan, Bae Beom Geun melepasi palang ketika gawang sudah terbuka luas pada minit ke-40.

Pada minit ke-54, nasib terus tidak menyebelahi JDT apabila sepakan percuma Gonzalo Cabrera terkena tiang manakala bola tandukan Fadhli Shas yang membuat tindakan susulan juga singgah di palang gol.

Saat yang dinantikan anak buah Benjamin Mora akhirnya tiba pada minit ke-63 apabila Cabrera menyudahkan sepakan penalti selepas Marquez dikasari oleh pertahanan MIFA.

Cabrera meraikan gol itu bersama Marquez yang ketika itu menerima rawatan di dalam ambulans di tepi padang.

JDT bertambah selesa apabila Safawi menggamatkan stadium dengan jaringan menarik menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol Mohd Muhaimon Mohamad buat kali kedua di minit ke-72 sebelum menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-83.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: