Marcos Menang

JDT Lakukan Rombakan Tentang MU

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi mengesahkan rombakan kecil akan dilakukan di bahagian pertahanan apabila pasukan itu berdepan Melaka United (MU) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Longhi berkata, rombakan kecil dilakukan selepas Aidil Zafuan Abd Radzak tidak dapat diturunkan dalam pertembungan menentang MU akibat layangan kad merah ketika menentang Terengganu FC (TFC), Rabu lalu dan tempatnya akan diganti oleh Mohd Fadhli Shas bagi menguatkan benteng pertahanan.

Tambahnya, beberapa posisi juga akan dipertingkatan bagi membuat persiapan rapi menentang skuad kendalian E Elavarasan yang pasti turun untuk memburu kemenangan apabila pasukan itu beraksi di laman sendiri.

“Fadhli akan bergandingan bersama Marcos (Antonio) bagi menguatkan benteng pertahanan dan saya percaya gandingan itu mampu mengukuhkan posisi berkenaan dan kemungkinan juga akan ada perubahan di posisi tengah memandangkan Natxo Insa berada di tahap kecergasan yang memuaskan.

“Mengenali Elavarasan, saya tahu corak permainan yang akan ditampilkan oleh barisan pemain MU. Oleh itu kami perlu lebih bersedia berdepan pasukan yang kerap bermain dengan corak permainan pantas.

“Mereka dibarisi pemain yang berbahaya terutama gandingan pemain import dan tempatan yang terbaik malah pasukan itu juga sudah mula menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini dengan memenangi beberapa perlawanan,” katanya.

Longhi menegaskan aksi menentang MU amat penting kerana tiga mata yang dicari mampu menjarakkan lagi kedudukan dengan pencabar terdekat iaitu Perak, Pahang dan Kedah.

Katanya, selepas aksi menentang MU, skuad Harimau Selatan berehat agak panjang dan hanya kembali beraksi pada 10 Julai dan sememangnya kemenangan ke atas MU mampu memberi impak positif untuk JDT  kekal selaku pendahulu liga, sekali gus menjadi momentum penting bagi menghabiskan baki lima perlawanan liga lagi.

“Saya tidak nafikan, kami akan berdepan perlawanan sukar apabila berdepan MU tetapi sasaran kami sudah tentu mahu terus mengekalkan rentak kemenangan dan ia penting tatkala baki saingan liga tinggal enam perlawanan sahaja,” kata Longhi.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: