JDT punyai resipi jinakkan Terengganu FC
JOHOR BAHRU: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai resipi tersendiri untuk menjinakkan Terengganu FC (TFC) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini.
Pengurus JDT, Luciano Figueroa menegaskan mereka mahu mencari kemenangan selesa sebelum melayan kunjungan lawan pada separuh akhir kedua di Larkin pada 20 Oktober depan.
Menurutnya, selepas menumbangkan pasukan gergasi Pantai Timur, Pahang dengan aggerat 3-1, persiapan seterusnya untuk menentang skuad Penyu yang turut dilabel pasukan mantap dan berbahaya.
“Memang kami mahu menang pada aksi separuh akhir pertama walaupun sedar berdepan kesukaran kerana beraksi di tempat lawan dan TFC juga memiliki pemain yang mantap dan berkualiti tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.
“TFC sudah pasti akan turun habis-habisan untuk menewaskan kami dan sudah tentu kami tidak rela perkara itu berlaku. Mereka sebaliknya harus risau dengan kekuatan JDT yang tampil dengan permainan berbeza bagi mencari kemenangan.
“Persiapan kami berjalan lancar dan tiada pemain yang mengalami kecederaan atau digantung. Ia memberi peluang untuk saya dan Benjamin Mora menyenaraikan kesebelasan terbaik berdepan anak buah Irfan Bakti (Abu Salim),” katanya.
Pada saingan Liga Super musim ini, JDT mencatat rekod bersih 100 peratus ke atas TFC selepas menang 1-0 di Kuala Terengganu (10 Mac) sebelum menang 2-0 di Larkin (20 Jun).
Bagaimanapun, Figueroa tidak mahu memikirkan mengenai pencapaian skuad Harimau Selatan dalam liga kerana Piala Malaysia satu pertandingan berbeza apatah lagi memasuki peringkat separuh akhir.
“Kemenangan ke atas TFC pada saingan liga sudah menjadi lipatan sejarah. Kini cabaran lebih hebat kerana kami turun beraksi pada separuh akhir dan ia perlawanan kalah mati jadi kami harus fokus tanpa membuat kesilapan.
“Apa yang membimbangkan saya adalah keadaan padang di stadium itu yang akan menjejaskan rentak permainan JDT. Namun kami akan beri yang terbaik sepanjang 90 minit,” kata Figueroa.
Sumber: Berita Harian