JDT Waspada Ancaman TFC
JOHOR BAHRU: Cabaran yang bakal ditempuh Johor Darul Ta’zim (JDT) menuju penghujung Liga Super tampak berliku apabila dijadual berdepan Terengganu FC (TFC) yang memiliki reputasi tersendiri pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Walaupun memimpin tangga teratas liga dengan mengumpul 38 mata selepas mengharungi 15 perlawanan hasil 12 kemenangan dan dua keputusan seri, pengendali JDT Raul Longhi pasti menjadi individu paling sibuk untuk terus merencana taktikal ampuh bagi melayani kunjungan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.
Bagi Longhi apa yang perlu diterjemahkan oleh setiap pemain Harimau Selatan ialah memberi komitmen tinggi dan sentiasa fokus sepanjang 90 minit perlawanan, selain mengelak melakukan kesilapan mudah.
“Setiap pemain tahu apa yang mereka perlu lakukan ketika beraksi di padang kerana kita ada misi yang menjadi sasaran JDT dan mereka tidak boleh terlalu selesa apabila berada di tangga teratas liga.
“Terengganu adalah pasukan hebat dan kami jangkakan ia perlawanan hebat walaupun kami pernah tewaskan pasukan itu 1-0 di gelanggang mereka tetapi corak permainan pantas mereka nyata beri kesukaran untuk menang dengan lebih selesa dan pastinya mereka akan turun lebih agresif pada aksi nanti,” katanya.
Longhi juga tidak menafikan kelibat pemain import skuad Penyu, Kipre Tchetche yang menjadi tonggak utama di barisan serangan mampu bertindak secara bersendirian jika diberi kebebasan.
Justeru, gandingan Marcos Antonio sama ada Aidil Zafuan Abd Radzak atau Mohd Fadhli Shas perlu berhati-hati dengan kelicikan pemain import dari Ivory Coast itu yang bijak mengamblil kesempatan untuk menjaringkan gol.
Selain itu, barisan bek kiri dan kanan JDT yang diterajui Corbin Ong dan S Kunanlan juga perlu menggandakan lagi `kerja’ mengemudi benteng JDT tatkala Terengganu kerap menggunakan bahagian sayap kiri dan kanan untuk menggempur benteng lawan.
Dalam pada itu, posisi tengah JDT yang dianggap konsisten sepanjang aksi liga akan lebih mantap seandainya Natxo Insa yang tampak pulih daripada kecederaan kembali bergandingan bersama Hariss Harun dan Fernando Elizari.
Di barisan serangan, kelibat Fernando Marquez dari Argentina yang baru menjaringkan dua gol terus ditagih bukan sahaja untuk memburu jaringan, namun membantu rakan lain mencipta gol menggunakan helah tersendiri.
Apapun, kemenangan JDT di Larkin bakal memberi lebih keselesaan buat juara liga empat musim berturut-turut itu untuk memburu kejuaraan kelima sekali gus melayakkan diri ke kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.
Sumber: Berita Harian