Kebakaran

Jeritan minta tolong selamatkan lima beradik

JOHOR BAHRU: “Ketika memasak, saya tiba-tiba terdengar jeritan meminta tolong serta terhidu bau hangit sebelum meninjau di luar rumah dan melihat asap tebal dari tingkap atas rumah jiran,” kata seorang suri rumah yang enggan dikenali.

Menceritakan detik mencemaskan itu, wanita berkenaan berkata, kejadian berlaku di Jalan Berlian 10, Taman Nora di sini, kira-kira jam 11 pagi ini.

Katanya, tanpa berfikir panjang, dia berlari ke rumah jiran dan mendapati pasangan suami isteri berusia 20-an hingga 30-an sedang tidur di ruang tamu.

“Saya juga agak cemas kerana setahu saya kesemua anak pasangan itu biasanya tidur di tingkat atas.

“Mujur panggilan saya membuatkan mereka terkejut sebelum lelaki berkenaan pantas berlari ke tingkat atas bagi memeriksa keadaan anak mereka.

“Seorang demi seorang anak mereka diselamatkan dan dibawa turun termasuk seorang anak lelaki pasangan itu melecur pada muka, manakala anak yang lain mengalami kecederaan selain rambut mereka juga ada kesan seperti disambar api,” katanya.

Wanita itu berkata, kelima-lima beradik berkenaan kemudian dibawa ke hospital berhampiran oleh ibu mereka.

Katanya, dia juga meminta bantuan penduduk sekitar untuk membantu keluarga berkenaan bagi memadam kebakaran.

“Hampir 50 peratus kebakaran dapat dipadam sebelum pasukan bomba tiba dan ia mampu mengelakkan api marak ke rumah sebelah.

“Keluarga ini berpindah ke rumah sewa berkenaan kira-kira dua bulan lalu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: