Johor laksana semua janji 100 hari
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor di bawah Pakatan Harapan (PH) sudah melaksanakan semua janji dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata janji itu bukan sekadar dibuat untuk meraih sokongan atau undi, sebaliknya ia memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya hendak menjelaskan dan menegaskan di sini bahawa barisan kepemimpinan baharu bukan seperti terdahulu, hanya tahu menabur janji manis untuk memenangi hati rakyat kemudiannya dihampakan.
“Saya juga sudah membentangkan visi dan misi serta hala tuju yang ditetapkan negeri ini untuk 10 tahun akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menyentuh mengenai tawaran dalam manifesto bagi mengehadkan jawatan Menteri Besar tidak lebih dua penggal yang dibangkitkan wakil Jementah dan Layang-layang, Osman berkata, PH sudah mencapai persetujuan bersama untuk memberikan tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan Menteri Besar.
“Tempoh ini dirasakan paling sesuai untuk melaksanakan segala pelan pembangunan yang dirancang.
“Ini juga dipersetujui di peringkat Persekutuan dimana seseorang yang memegang jawatan Perdana Menteri juga tidak boleh melebihi tempoh dua penggal,” katanya.
Sehubungan itu katanya, tiada keperluan untuk mengadakan satu pindaan untuk memasukkan klausa yang mengehadkan jawatan Menteri Besar tidak melebihi dua penggal semata-mata untuk menunjukkan keikhlasan dan kejujuran terhadap rakyat.
“Kami dipihak PH berpegang kepada prinsip dan dasar pentadbiran,” katanya.
Selain itu Osman berkata, pemansuhan kuota menegak kerajaan (KMK) menjadi antara satu manifesto yang sudah dilaksanakan, malah sistem itu dilihat tidak adil kepada rakyat Johor.
“Ini kerana sistem ini memberikan hampir 30 peratus daripada Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) kepada ketua parti kerajaan terdahulu dan diagihkan kepada penyokong mereka.
“KMK ini juga membuka ruang untuk salah guna kuasa dan rasuah dengan menjual sijil ini kepada orang ramai dengan harga tidak munasabah,” katanya.
Sumber: Berita Harian