Bigstock 130155902

Inilah 10 Kaedah Mencari Barang Yang Hilang Dengan Cara Islam

Salah satu perkara yang menyebabkan seseorang dilanda tekanan (stres) ialah apabila sesuatu barang miliknya yang berharga dan disayangi tiba-tiba hilang. Kehilangan itu makin dirasai terutamanya sesudah semua masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit dibelanjakan dalam usaha untuk mencarinya.

Semakin berharga milikannya yang hilang itu, maka semakin serius tekanan dialami. Apabila menghadapi masalah kehilangan sesuatu milik kesayangannya, masyarakat kita cenderung untuk mengambil jalan pintas, tanpa memikirkan soal halal atau haramnya.

Tumpuan utama mereka ialah tukang tilik, pak nujum, pawang, bomoh yang dianggap mengetahui perkara yang ghaib dan boleh membantu mereka untuk menemui barang mereka yang hilang itu.

Ada juga yang tergamak meminta pertolongan tukang tilik seperti bomoh orang asli, tok cha Siam dan sebagainya kerana apa yang penting, barang mereka yang hilang mesti ditemui dengan segera.

Mereka melupakan wasiat Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang menemui ‘arraf (tukang tilik) atau munajjim (tukang ramal dengan menggunakan peredaran bintang) atau kahin (pawang dan bomoh), sesungguhnya dia telah kufur terhadap kebenaran yang dibawa oleh Muhammad SAW.”

Setengah ulama menegaskan maksud kufur dalam hadis ini, bukan kufur yang menjadikan seseorang terkeluar dari Islam, tetapi ia bermakna berdosa besar atau fasik.

Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW menegaskan bahawa solatnya (termasuk ibadatnya yang lain) tidak diterima oleh Allah selama empat puluh hari empat puluh malam.

SATU KAEDAH AMALAN GOLONGAN SUFIYYAH

Penulis ingin berkongsi amalan mencari barang yang hilang ditarbiyahkan oleh sesetengah sufiyyah yang mengandungi beberapa langkah.

LANGKAH PERTAMA

Lakukan taubat yang merangkumi empat amalan:

  • Membanyakkan istighfar;
  • Mandi sunat taubat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhaj al-‘Abidin;
  • Solat sunat taubat;
  • Solat sunat awwabin iaitu bertaubat dari dosa dalaman yang sukar disedari.

Sebaik-baiknya, semua amalan taubat tersebut terpimpin. Para sahabat Rasulullah apabila bertaubat, mereka akan dipimpin oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 64 yang bermaksud, “Sekiranya mereka yang telah menzalimi diri mereka sendiri (kerana melakukan dosa) datang menemui engkau (ya Muhammad), lalu mereka meminta keampunan kepada Allah, dan Rasulullah SAW juga meminta keampunan dari Allah untuk mereka, nescaya mereka akan dapati bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

LANGKAH KEDUA

Solat sunat hajat 2 rakaat. Adalah baik jika pada rakaat pertama, selepas membaca surah al-Fatihah, dibacakan surah al-Insyirah; dan pada rakaat kedua pula dibacakan surah al-Ikhlas.

LANGKAH KETIGA

Selesai solat hajat, bacalah ayat ke 16 surah Luqman seberapa banyak yang boleh dengan tatacara yang berikut:

  • Istighfar dengan menyebut Astaghfirullah sebanyak 70 kali.
  • Membaca al-Fatihah sekali diniatkan supaya Allah sampaikan pahalanya kepada Rasulullah SAW, para guru kita dan semua umatnya yang soleh.
  • Membaca ayat ke 16 dari surah Luqman seberapa banyak yang boleh sambil membayangkan Allah memulangkan barang yang hilang kepada kita.
  • Berzikir dengan menyebut terus seberapa lama yang mampu YA LATIF YA KHABIR.

LANGKAH KEEMPAT

  • Berzikir tahlil terus menerus seberapa lama yang boleh dalam keadaan muraqabah ma’iyyah sambil ditumpukan doa dalam hati, “Ya Allah hanya dengan rahmatMu, kehendakMu dan kekuasaanMu sahaja barang tersebut dapat ditemui.”

LANGKAH KELIMA

  • Buat nazar apa sahaja yang baik dan mudah dilakukan seperti puasa sunat sehari atau sebagainya.

LANGKAH KEENAM

  • Bersedekah setiap hari walaupun RM1.00.

LANGKAH KETUJUH

  • Kekalkan diri dalam keadaan berwuduk.

LANGKAH KELAPAN

  • Sentiasa ingat kehendak dan keazaman makhluk tidak dapat mengatasi takdir Allah.

LANGKAH KESEMBILAN

  • Sentiasa menjada adab terhadap Allah iaitu mengingati namaNya, muraqabah wujudNya, keagunganNya dan kesempurnaanNya.

LANGKAH KESEPULUH

  • Berdoa secara khusus dengan membaca doa qunut sebanyak 13 kali sehari.

KISAH BENAR

Seorang hamba Allah telah kehilangan motosikal berkuasa besar miliknya selama hampir enam bulan. Penulis ajarkan amalan di atas dan beliau telah mengamalkan kaedah tersebut selama tiga hari tiga malam.

Beliau menumpukan amalan tersebut di rumahnya dan tidak keluar rumah kecuali ada urusan yang penting. Selepas kira-kira 2 atau 3 minggu, ketika turun daripada pejabat untuk balik ke rumah, beliau terperanjat besar kerana motosikalnya berada di tempat yang biasa beliau letakkan beserta dengan anak kuncinya sekali.

Setelah diperiksa, beliau yakin itu adalah motosikalnya yang hilang, cuma nombor platnya sahaja yang telah ditukar. Ada kemungkinan orang yang mencurinya telah memulangkannya semula. Bagaimanapun hakikatnya, Allah yang memulangkan.

Seorang jiran penulis yang kehilangan semua barang kemas warisan keluarga dapat menemui semula semua barang kemasnya sesudah beliau terus menerus bertahlil selama kira-kira satu bulan.

Pencuri telah memulangkan barang kemasnya di depan pintu rumahnya di dalam beg plastik berwarna kuning. Demikianlah sedikit sebanyak kisah benar yang berlaku. Semuanya adalah gambaran bagaimana kekuasaan Allah untuk mengabulkan permintaan hambaNya.

Ada diantara hambaNya yang meminta dengan jalan yang yang syirik, tetapi Allah tetap mengabulkannya. Ada juga hambaNya yang meminta dengan jalan yang diredhaiNya, maka dikabulkan juga. Semuanya adalah ujian untuk melihat sejauh mana manusia akan percaya dan beriman dengan ketentuan Allah.

Bagi mereka yang menggunakan kaedah yang syirik lalu mendapat kembali barang yang hilang, maka tiada keuntungan baginya diakhirat, bahkan dia akan dimasukkan ke dalam neraka.

Manakala mereka yang kehilangan suatu milikan, lalu bersabar dan berikhtiar dengan cara yang Allah redhai, maka Allah akan membalasnya dengan ganjaran yang lebih baik di dunia dan akhirat, sekalipun barang tersebut tidak ditemui.

SYAITAN DAN JIN MENYOROKKAN BARANG

Islam tidak menolak kebolehan syaitan atau jin yang mampu menyorokkan sesuatu barang termasuk batang tubuh manusia hingga tidak mudah bagi manusia biasa melihat dan menemuinya semula. Ini adalah kerana sifat kemurahan Allah yang bersifat ar-Rahman yang berkuasa mengabulkan permintaan syaitan dan jin yang jahat sekalipun.

Misalnya permintaan syaitan untuk masuk ke dalam tubuh badan nabi Ayub a.s. telah dikabulkan oleh Allah hingga baginda a.s. menderita sakit selama 18 tahun.

Ada ketikanya bukan barang yang disorokkan, tetapi kedua-dua mata manusia yang mencari barang tersebut yang ditutupkan oleh jin dan syaitan sehingga tidak dapat melihat jalan, rumah, sekolah, kapalterbang dan lain-lain objek yang besar yang berada di hadapannya.

Seorang yang sesat di hutan, ditemui berdiri di lorong yang biasa di laluinya. Beliau tidak nampak lorong tersebut kerana kedua matanya telah ditutupi oleh syaitan.

ISLAM MENOLAK PERANGKAP SYAITAN

Syaitan yang telah berjaya meyakinkan tukang tilik, tukang ramal dan bomoh, dengan maklumat yang benar akan mudah memerangkap mereka dan masyarakat umum melalui cerita-cerita karut dan khurafat.

Syaitan ini akan menetapkan pelbagai syarat dan kaedah pelik yang berlawanan dengan akidah dan syariah yang mesti dipenuhi untuk menemui semula barang yang hilang. Amalan dan kepercayaan karut serta khurafat inilah yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Islam.

Kononnya, apa sahaja barang yang hilang boleh ditemui dengan mudah sekiranya dibuat beberapa langkah seperti berikut:

Pertama, puja hajat iaitu solat hajat special oleh sekumpulan wali ghaib terpilih yang memerlukan kos yang tinggi hingga mencecah puluh ribu.

Kedua, dengan menyembelih dua ekor kambing hitam. Dagingnya dibuat kenduri untuk arwah emak ayah dan datuk nenek. Kedua-dua kepala kambing korban itu mesti diletakkan di atas dua rakit batang pisang dan dihanyutkan ke sungai. Kononnya, kedua-dua kepala itu akan dapat diterima oleh raja jin laut yang tinggal di kuala sungai itu.

Ketiga, dengan menunaikan pengeras iaitu derma kepada mana-mana masjid atau surau sebanyak RM2.25 yang boleh dimasukkan ke dalam tabung masjid atau surau. Kononnya, selepas itu barulah barang atau anak akan dijumpai sebab raja jin dan kumpulannya akan membuka semua hijab ghaib yang melindungi selama ini.

Hakikatnya, menerusi tiga upacara tesebut, mereka telah terhumban ke dalam perangkap syaitan yang mengerikan tanpa sedar. Apa yang menghairankan ialah mereka berasa bertuah kerana telah dapat melaksanakan tiga amalan yang baik yang menjanjikan kejayaan menemui barang atau orang yang hilang. Ketiga-tiga amalan itu bukan sahaj karut dan khurafat, tetapi menyebabkan mereka syirik.

Upacara penyembelihan dua ekor kambing dan menghanyutkan kepalanya adalah amalan menyemah atau buang ancak yang diharamkan. Begitu juga dengan pengeras, walaupun kelihatan sangat remeh, tetapi mengandungi maksud tunduk dan taqarrub kepada syaitan.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan dalam sebuah hadis bahawa seorang mukmin yang memberi pengeras berupa bangkai seekor lalat kepada berhala, akan dimasukkan ke dalam neraka. Manakala seorang mukmin yang enggan memberi pengeras tersebut sehingga dibunuh, akan dimasukkan ke dalam syurga.

Kaedah karut dan penuh khurafat yang disebutkan di atas merupakan salah satu daripada seribu satu macam kaedah mencari barang hilang yang digunakan oleh pawang dan bomoh.

Wallahu a’lam.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: