Pandemic 1

Kaitan pandemik, perintah kawalan dalam sejarah Islam

Pandemik atau wabak penyakit bukan perkara baharu dalam tamadun manusia. Sejak 165 Masihi, lima juta nyawa manusia terkorban akibat Antonine Plague. Penyakit ini merebak di Mesir, Greek dan Itali yang dikatakan dibawa melalui darat oleh tentera Rom selepas berperang dengan Kerajaan Mesopotamia.

Antara 1346-1353 pula, pandemik The Black Death menyerang benua Eropah, Afrika dan Asia. Penyakit hawar ini berpunca daripada tikus dan kuman yang diangkut menerusi kapal dagangan menerusi laluan laut. Sekurang-kurangnya 75 juta nyawa manusia terkorban.

Pada zaman moden, dengan populasi manusia semakin bertambah, selain kemudahan pengangkutan udara dan laut merentas benua, pandemik bukanlah perkara pelik. Pandemik influenza yang melanda dunia antara 1918 hingga 1920, mengorbankan hampir 50 juta nyawa dalam tempoh singkat.

Sekarang, tamadun manusia diuji lagi dengan pandemik COVID-19. Dalam masa pantas, ribuan manusia daripada seluruh pelosok dunia dijangkiti. Pada permulaan penyebaran virus baharu ini, ia hanya tertumpu di China. Namun, kini penularannya sukar dibendung daripada merentasi sempadan pelbagai negara.

Terdapat naratif berdalilkan hujah agama yang kurang cermat dalam menyantuni penyebaran COVID-19 ini. Pada awalnya, dihujahkan sebagai kafarah atau pembalasan terhadap kezaliman China ke atas Muslim Uighur hingga ia kononnya langsung tidak melanda umat Islam di negara berkenaan.

Sekarang terbukti ia salah. Kemudian diikuti pula dengan naratif eskatologi atau (akhir zaman) bahawa dunia sudah menghampiri penghujungnya. Tidaklah dinafikan kebenaran naratif ini, cuma jangan lupa kelahiran Nabi Muhammad SAW itu sendiri sudah menjadi petanda akhir zaman, bahkan sebelum kelahiran Nabi lagi pandemik penyakit berlaku pada skala besar.

Sebenarnya, ada banyak dalil al-Quran dan hadis menerangkan musibah sebagai azab kecil akibat kerosakan yang dilakukan tangan manusia. Namun, ia juga boleh menjadi rahmat kepada insan bersabar dan memberikan tindak balas yang betul dalam menghadapinya.

Begitu juga banyak hadis menerangkan tindak balas sebenar umat Islam dalam berhadapan dengan ujian seperti COVID-19. Ini tentunya bukan semata-mata yakin dan reda dengan ketentuan Allah SWT semata-mata, sebaliknya perlu berikhtiar dengan mengambil langkah sewajarnya termasuk tidak keluar daripada daerah kediamannya.

Di negara ini, kerajaan menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai ikhtiar untuk membendung penularan COVID-19 yang meningkat akibat kecuaian sebahagian masyarakat. Tindakan ini terbukti berjaya mengurangkan secara drastik penyebaran virus berbahaya ini seperti di wilayah Wuhan, China.

Tindakan sama pernah direkodkan dalam sejarah Islam. Menurut catatan sejarawan terkemuka, Ibn al-Athir, pada 1048, pandemik penyakit pernah melanda Makkah, Iraq, Palestin dan Sham. Imam al-Zahabi dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’ meriwayatkan sekitar 1055, peristiwa itu menyebabkan masjid ditutup dan langsung tidak didirikan solat.

Dalam berhadapan dengan COVID-19 ini, majoriti penduduk dunia tiada langsung pengalaman untuk melaluinya. Lantas, tidak hairanlah mengapa masih berlaku tindakan yang dilihat sebagai mementingkan diri sendiri, terutama tidak mempedulikan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia perlu memberikan tindak balas yang lebih baik dalam membendung penularan wabak ini kerana ia menjadi prasyarat untuk kita berjaya mengatasi ujian COVID-19 ini.

Penulis adalah Ketua Program Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang

Sumber: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/03/667490/kaitan-pandemik-perintah-kawalan-dalam-sejarah-islam

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: