Kali Ini Peluang Terbaik JDT Untuk Mara Ke Final Selepas 2014
Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim menuntut rakan sepasukannya untuk memastikan aksi 90 minit separuh akhir kedua berdepan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam esok, menjadi milik mereka.
Safiq yang menjadi nadi utama skuad Harimau Selatan sejak 2013 menyifatkan kali ini adalah peluang terbaik untuk pasukannya mara ke final selepas 2014.
[AdSense-B]Namun, perancang tengah itu tetap enggan terlalu selesa kerana sedar Perak pasti akan bermain bermati-matian untuk mengatasi kelebihan satu gol tempat lawan yang dimiliki JDT.
“Syukur kerana kami berjaya mendapat bekalan gol tempat lawan pada aksi pertama dan ia pasti satu kelebihan bagi kami. Namun kami perlu mengelak daripada terlalu selesa.
“Kami masih mempunyai 90 minit lagi baki perlawanan di Larkin dan sudah pasti kami mahukan keputusan positif sekali gus mara ke final.
“Kami sebagai pemain perlu sentiasa bersedia dan saya percaya jurulatih sudah mempunyai strategi terbaik untuk berdepan Perak esok,” katanya yang mengidam menjulang kejuaraan Piala Malaysia bersama JDT.
[AdSense-B]Berdasarkan kelebihan gol tempat lawan selepas seri 1-1 di Ipoh Ahad lalu, JDT hanya perlu memastikan gawang mereka tidak dibolosi The Bos Gaurus untuk melayakkan diri ke final.
Selepas gagal merangkul Piala Malaysia 2014 apabila tewas 3-5 kepada Pahang menerusi penentuan penalti, musim ini menjadi peluang terbaik JDT untuk menebus kekecewaan itu sekali gus melengkapkan jumlah trofi saingan bola sepak tempatan yang dimenangi mereka.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: Tiada Alasan Buat JDT Untuk Gagal Ke Final Piala Malaysia 2017