Afif

Kecederaan Ganggu Penampilan Afif Berdepan JDT

KUALA LUMPUR: Impian Afif Amiruddin untuk mempertahankan kubu Pahang daripada dicerobohi Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu depan tidak kesampaian apabila masih dibelenggu kecederaan hamstring.

Afif yang mengalami kecederaan itu ketika perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Makmur 5 Mei lalu hingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-29 berkata, dia belum mampu beraksi lasak sebaliknya hanya menjalani latihan ringan.

“Perlawanan ini memang saya tunggu-tunggu kerana ia mempertemukan dua pasukan di tangga teratas. Keputusan dalam dua aksi ini boleh mempengaruhi kedudukan kedua-dua pasukan.

“Ia perlawanan yang penting dan perlu dimenangi Pahang jika mahu mengejar JDT yang kini selesa menduduki tangga teratas dengan kelebihan lapan mata.

“Jika menang kedua-dua perlawanan, Pahang boleh memadam kelebihan enam mata JDT dan hanya tinggal dua mata untuk dikejar. Ia bukan mustahil kerana kami pernah mengalahkan mereka di Larkin,” kata Afif merujuk kemenangan 3-0 ke atas JDT pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA, April lalu.

Perlawanan kedua-dua pasukan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam ini dipinda ke Jumaat sebagai menghormati kemangkatan bonda Sultan Johor.

Justeru perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada Sabtu ini turut dipinda ke Selasa depan.

“Pada awalnya saya jangka sempat pulih untuk bermain dalam kedua-dua perlawanan penting itu apatah lagi selepas tarikhnya dipinda.

“Tapi, ternyata kecederaan saya serius yang mana masih memerlukan rehat lebih panjang untuk pulih. Saya tidak dapat mengagak bilakah masa sebenar dapat beraksi semula, harap ia tidak lama.

“Apa pun saya yakin Bunyamin (Omar) mampu menggalas tugas yang saya tinggalkan sebagaimana sudah dibuktikannya sejak mengisi tempat itu. Siapa pun yang akan bermain, yang penting adalah kemenangan pasukan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: