Kedah bimbang kebangkitan JDT
ALOR SETAR: Kekalahan mengejut Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangan MIFA minggu lalu lebih menyukarkan Kedah apabila mereka bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, bagi aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia, Jumaat ini.
Menyedari lawan pasti bangkit bagaikan harimau terluka, penolong jurulatih Kedah, Azzmi Azis menegaskan mereka tetap berwaspada dalam usaha membawa pulang tiga mata ke Darul Aman.
“Kekalahan JDT di tangan MIFA Ahad lalu mampu membangkitkan kembali semangat mereka untuk mencari kemenangan berdepan kami pada perlawanan Jumaat ini. Itu yang kami nampak.
“Tiada jalan mudah. Sekiranya Kedah mahu membawa pulang mata ke Darul Aman, maka kerja keras dan taktik lebih ampuh perlu diterapkan untuk berdepan JDT, satu pasukan serba-serbi lengkap dalam setiap aspek,” katanya.
Skuad Lang Merah sendiri berdepan masalah prestasi dan krisis kecederaan pemain dan mereka hanya seri 0-0 dengan Kelantan pada aksi pertama Piala Malaysia di laman sendiri.
“Kami perlu meneliti dengan terperinci setiap kekurangan dalam pasukan terlebih dahulu sebelum mengorak langkah dengan usaha bersungguh-sungguh mencari kemenangan di Larkin.”
Azzmi juga bimbang kerana pasukan Hijau Kuning itu berdepan masalah jaringan gol selepas hanya menyumbat tiga gol dalam lima perlawanan terakhir.
“Kami perlu mencari jalan bagi mencipta lebih banyak peluang menghasilkan gol memandangkan dalam beberapa perlawanan terakhir, kami sukar mendapatkan jaringan.”
Sumber: Berita Harian