Kapten Perak

Kejuaraan JDT Bukan di Ipoh – Kapten Perak

IPOH: Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) merayakan kejayaan menjulang gelaran Liga Super lebih awal di Ipoh malam esok perlu ditangguhkan dulu.

Ia kerana pasukan The Bos Gaurus (TBG) tidak rela membenarkan pasukan Harimau Selatan itu meraikan kejayaan itu di bumi Perak.

Peringatan itu dilaungkan kapten Perak, Mohd Nasir Basharuddin yang bersama rakan lain tekad menghalang JDT meraih kejayaan sekali gus menjulang kejuaraan itu lima musim berturut-turut.

“Kami  sepakat menghalang JDT malam esok. Jika mereka hendak menang biarlah di Johor atau gelanggang lain, bukan di Ipoh,” kata pemain kebangsaan itu.

Pemain tengah lincah itu berkata, tuan rumah yakin bagi menghadapi perlawanan berkenaan kerana bebas kecederaan serta tiada penggantungan pemain.

“Kami akan dapat menurunkan kesebelasan terbaik bagi membuat perhitungan dengan JDT. Cuma malam esok saya berharap segala-galanya berpihak kepada kami baik daripada segi persembahan serta tuah,” katanya.

Justeru, Nasir mengingatkan rakan supaya fokus sepenuhnya kepada perlawanan serta tidak alpa walaupun seminit.

“Kami kena mantap seluruhnya. Benteng kena padu dan jitu manakala jentera serangan menyengat, ” kata Nasir.

Lebih penting, Nasir berharap peranan pemain ke-12 iaitu penyokong dapat menyemarakkan semangat  pemain tuan rumah.

“Final Piala FA baru-baru ini tidak ramai turun kerana Piala Dunia. Saya berharap penyokong TBG datang beramai-ramai untuk beri sokongan padu kepada kami,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: