Kejuaraan Piala Malaysia Adalah Kerja Keras Semua Pihak

Kejuaraan Piala Malaysia Adalah Kerja Keras Semua Pihak – Izham Tarmizi

Penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan menyifatkan kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Piala Malaysia buat pertama kali pada musim ini adalah hasil daripada komitmen semua pihak yang bekerja keras merealisasikan impian menjulang piala tertua di rantau Asia itu.

Katanya, suntikan semangat daripada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa memberi dorongan dan kata-kata nasihat nyata memberi kekuatan kepada semua pemain untuk beraksi konsisten seterusnya mencapai kejayaan.

[AdSense-B]

Malah tambahnya, semangat itu nyata memberi kesan tatkala barisan kejurulatihan berjaya membentuk taktikal ampuh dan dorongan daripada penyokong yang hadir di Stadium Shah Alam juga memainkan peranan penting untuk menjuarai piala berprestij itu selepas kali terakhir Johor menjuarainya 26 tahun lalu.

“Semua pemain beraksi melebihi 100 peratus dan fokus pada final itu dan berjaya mengikut perancangan taktikal yang dibentuk ketua jurulatih, Ulisses Morais apabila menidakkan penguasaan barisan pemain Kedah.

“Kemenangan yang kita raih adalah usaha dan kesungguhan setiap pemain yang inginkan kejuaraan bagi dihadiahkan kepada TMJ dan juga penyokong yang sentiasa berada di sisi kami tidak kira sama ada menang atau kalah. Saya bangga dengan semangat juang tinggi rakan sepasukan dan amat berbaloi untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Mengulas mengenai situasi getir pada aksi final itu tatkala dua percubaan skuad Lang Merah dari Baddrol Bakhtiar yang terkena palang dan tiang gol, Izham Tarmizi menyifatkan tuah tidak memihak skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff.

[AdSense-B]

Katanya, adalah lumrah dalam permainan bola sepak ada ketika JDT akan menyerang dan bertahan, walaupun diasak barisan penyerang Kedah namun benteng pertahanan dibarisi pemain tempatan tampak tenang untuk menidakkan gerakan berbahaya skuad Lang Merah.

“Kita tahu Kedah akan turun habis-habisan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dan persiapan rapi yang dibuat Morais malah kami juga mengkaji corak permainan pasukan itu dan hasilnya kami menempa kejayaan manis untuk melabuh tirai Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

jdt vs selangor izham 1

“Saya akan bersama JDT pada musim depan dan berazam untuk memberi persembahan lebih mantap dalam usaha mengekalkan kejuaraan Liga Super dan juga merampas kembali Piala FA selain Piala Sumbangsih pada aksi pembuka tirai Liga M musim depan,” kata Izham.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Natxo Insa Sedia Sarung Jersi Malaysia

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: