Kemas Rumah Dengan Cepat

InilaH 7 Tip Kemas Rumah Dengan Cepat dan Menjimatkan Masa

Jika dilihat pada pengertian rumah, sangat luas. Tempat tinggal, tempat berteduh, tempat berkumpul, dan juga tempat beristirehat kepada penghuninya.

Rumah menjadi tempat utama melepaskan lelah setelah seharian berada di pejabat. Namun begitu, apa rasa jika kita balik kerja penat-penat rumah pula berselerak? Lagi-lagi kepada mereka yang dah berumahtangga dan ditambah lagi dengan kehadiran anak-anak kecil. Rumah jarang sangat berkemas, kan?

Rumah yang ada orang gaji lain lah kan. Bagi yang tiada? Kadang-kadang mata sakit betul tengok rumah tidak berkemas tapi kalau dah kedua-dua suami isteri bekerja, balik lewat petang, mana lah nak ada mood nak mengemas rumah. Jawapannya tunggu hujung minggu lah kan.

Tapi, siapa sanggup nak menghabiskan masa satu hari mengemas rumah sedangkan masa begitu boleh digunakan berekreasi bersama keluarga?

Nak mengemas rumah kena tahu cara. Jika tidak, rumah tak sekemas mana, masa dibazirkan, badan kita juga yang penat. Jadi, macam mana nak elakkan tiga-tiga perkara tu berlaku?

7 Tips Kemas Rumah Dengan Cepat Dan Menjimatkan Masa

1. Fokus pada Ruang Paling ‘Dibenci’

Jika kita perlu nak bersihkan seluruh rumah, pastikan kita fokus pada tempat yang ‘high-trafficked’. Haa, bukan entri blog saja yang ada ‘high-trafficked’, rumah pun ada tau.

Maksudnya ialah tempat yang paling berselerak, atau tempat yang paling kita benci nak kemas. Caranya, pastikan kita buat kerja yang besar, yang jelas dengan mata kasar dahulu dan benda-benda kecil dan teliti, kemudian.

Contoh, bilik mainan anak-anak. Saya percaya bilik ini di kebanyakan rumah, ibu-ibu memang malas nak ambil pusing dah. Tapi sesekali nak juga bilik ini kemas walau sehari, kan. hehe.

Kemas dulu bantal, buku, kerusi, mainan ke tempat asal. Susunan lego, rattle atau mainan-mainan kecil, boleh dikemudiankan. Percayalah, jika benda yang besar ni dah buat, nak kemas benda-benda kecil ibarat ‘petik jari’ saja.

2. Basuh Baju Setiap Hari (mesti)

Jangan simpan baju hingga hujung minggu sebab kita sendiri tahu akibatnya kan? Syue tahu ibu-ibu yang bekerja kebiasaanya mesti tunggu hujung minggu nak buat semua.

Bosan kot kan, asal Sabtu ja mesti membasuh, menyidai dan melipat. Apa kata selepas ini cuba jadikan amalan; setiap petang atau malam, basuh baju. Kalau ahli keluarga ramai, banyak lah kan walaupun hanya sehari.

Jika baju terpakai tak banyak, buat 2 hari sekali. Kita sendiri akan nampak, rumah kita bersih & kemas dari timbunan baju terpakai dalam baldi atau belum dilipat. Cuba libatkan suami dan anak-anak. seronok buat ramai-ramai. Minta mereka lipat baju masing-masing dan simpan di tempat sendiri. Mudah kan?

3. Buka Tingkap

Jika cuaca mengizinkan, buka tingkap dan biar udara dah cahaya matahari keluar masuk. Kadang-kadang udara yang tak segar ni boleh buat rumah kita nampak kotor. Jika ada tetamu nak datang dalam masa terdekat, boleh gunakan penyegar udara atau nyalakan lilin wangi di seluruh rumah kita.

4. Biar ‘Pencuci’ Mainkan Peranannya

Guna kelebihan produk pencuci yang ada dalam pasaran. Spray shower mandi, permukaan sinki, lantai, dinding dan biar dulu beberapa minit untuk bahan pencuci itu bertindak balas dengan kesan kotoran.

Buat kerja lain dulu. Kemudian datang semula. Hasil tindak balas tersebut mungkin kita hanya perlu mengelap atau menyiramnya sahaja. Tak perlu susah payah menyental atau memberus.

Produk itu sendiri dah memainkan peranan memudahkan kerja dan menjimatkan masa kita. Selamat pada tangan, sangat berkesan pada kotoran dan semulajadi.

5. Cuci Kotoran dengan Segera

Jika ada kesan tumpah, cuci dengan segera. Kita hanya akan melibatkan sedikit masa menyental kotoran tersebut dibandingkan dengan kesan tumpah yang dah dibiarkan lama.

Begitu juga dengan kotoran pada pinggan mangkuk. Jangan biar ‘bermalam’ dalam sinki dapur. Selepas makan, buang sisa makanan dan basuh terus. Bayangkan jika kita biar tidak berbasuh semalaman.

Esok paginya, jadi kerja pulak nak rendam dulu supaya senang cuci. Bau busuk pun dah merebak ke seluruh dapur. Bertambah pula kerja lain kan.

Dalam Islam pun ada menegaskan, jangan biarkan pinggan mangkuk yang dah digunakan tidak berbasuh. Sisa makanan yang dibiarkan di dalam bekas tidak berbasuh menjadi habuan syaitan, kerana syaitan suka makanan kotor dan busuk. Islam amat menggalakkan kebersihan dan benci pada sifat pengotor dan perkara-perkara yang boleh mendatangkan penyakit.

6. Libatkan Anak-anak

Anak-anak dalam semua peringkat umur boleh terlibat dalam urusan mengemas rumah. Buat carta, agihkan tugas masing-masing bermula dari mengemas katil sendiri sehinggalah kepada buang sampah.

Setelah selesai kerja rumah bersama-sama, bagi ganjaran pada diri sendiri dan anak-anak dengan membawa mereka berjalan-jalan atau hidangkan makan malam kegemaran mereka.

7. Sedut Habuk (Vacum) sebagai Tugas Paling Akhir

Daripada kita kemas satu-satu bilik tu, kemudian terus vacum, apa kata kita vacum akhir sekali, setelah semua ruang bilik berkemas. Jadi, kita tak payah nak ulang bawa keluar masuk vacum tu berulang kali pun kan dan tak perlu juga risaukan ada sampah yang tercicir.

Jadi, dah tengok tips ini, semangat berkobar-kobar kan nak kemas rumah. haha. Yang penting, masa kita dijimatkan dan rumah pun sentiasa bersih dan kemas.

Selamat mencuba!

Sumber – Syue Salim

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: