Seterika5

Tak Payah Beli Baru, Ini 7 Cara Hilangkan Kesan Hangus Pada Seterika

“Alamak, habis terbakar tudung aku. Seterika ni dah makin teruklah. Bukannya aku pakai panas paling maksimum pun. Apa nak buat ya?”

Sesetengah seterika yang ada kesan kehitaman atau hangus sememangnya berpotensi untuk merosakkan pakaian. Ini kerana lapisan tersebut boleh mempengaruhi kepanasan seterika. Kadang-kadang kepanasan tak sekata dan kita pun kuatkan lagi. Tiba-tiba berlubang pula pakaian!

Sebelum anda membeli seterika baru, cuba bersihkan dulu saki-baki lapisan kehitaman yang melekat padanya. Mana tahu, ia masih elok dan boleh berfungsi dengan baik. Bahkan, licin berkilat seperti baru.

Ada beberapa cara bersihkan seterika yang boleh anda lakukan sendiri di rumah dengan menggunakan bahan yang mudah.

7 CARA HILANGKAN KESAN HANGUS PADA SETERIKA

1. GARAM

Bahan yang paling senang untuk bersihkan seterika yang hangus adalah dengan menggunakan garam. Caranya sangat mudah. Mula-mula, taburkan garam di atas sehelai surat khabar atau aluminium foil dan kemudian panaskan seterika menggunakan suhu yang paling maksimum. Selepas itu, gosokkan permukaan seterika di atasnya hingga tertanggal semua kesan hangus. Berkesan!

2. LILIN

Gunakan sebatang lilin dan gosok pada seterika yang dah dipanaskan hingga lilin menjadi cair. Selepas itu, tonyohkan permukaan seterika pada kain buruk / kain yang tak digunakan lagi. Cubalah, permukaan seterika akan kembali licin.

3. DAUN PISANG

Kalau di rumah ada banyak daun pisang, bolehlah gunakan teknik ini. Ia juga petua yang biasa digunakan oleh mak-mak kita. Caranya, gosokkan saja di atas daun pisang. Kalau kesannya susah nak tanggal, kikiskan dengan pisau dan gosok semula dengan daun pisang untuk licinkan permukaan seterika tadi.

4. UBAT GIGI

Cara yang seterusnya ini tak perlu panaskan seterika. Gunakan ubat gigi dan sapukan pada bahagian yang ada kesan hangus. Biarkan seketika dan kemudian sental dengan kain. Kesan kotoran akan tanggal dengan mudah. Ulangkan beberapa kali atau sehingga ianya betul-betul bersih.

5. SODA BIKARBONAT / BAKING SODA

Cara seterusnya, boleh gunakan baking soda atau soda bikarbonat yang biasa kita gunakan untuk buat kek. Soda bikarbonat memang terkenal sebagai agen pencuci yang berkesan.

Campurkan sedikit air pada serbuk baking soda sehingga menjadi pes. Kemudian sapu pada permukaan seterika yang hangus atau hitam. Biarkan sekejap untuk ia bertindakbalas. Kemudian, ambil kain buruk dan gosok perlahan-lahan. Semua kesan kehitaman yang terlekat akan tanggal.

6. KERTAS PASIR

Satu lagi cara yang mudah, boleh gunakan kertas pasir. Macam guna garam tadi, kita panaskan seterika dan gosok hingga kotoran tanggal. Seeloknya guna yang kasar dulu, kemudian guna yang nipis. Gosokkan hingga permukaan seterika menjadi bersih.

7. MAGIC SPONGE

Kalau anda selalu shopping di kedai Eco atau kedai DIY, mesti perasan kan ada dijual magic sponge ini. Ianya memang berguna sebab boleh bersihkan macam-macam kesan kotoran termasuklah kesan hangus pada seterika.

Cara bersihkan seterika guna span ini mudah saja. Basahkan dulu span tu, kemudian gosok saja bahagian yang ada kesan kehitaman tadi. Kadang-kadang memang ambil masa sedikit, tapi hasilnya sangat memuaskan. Kalau malas nak beli di kedai, boleh juga beli online contohnya di Lazada atau Shopee.

Foto Kredit: Solihah Mohamad

DAH BERSIH & LICIN MACAM BARU!

Mudah saja kan? Jadi sebelum anda membelanjakan duit untuk membeli seterika baru, cubalah teknik ini untuk membersihkan kesan hangus pada seterika. Apapun, pastikan berhati-hati terutamanya ketika menggunakan teknik yang melibatkan seterika yang panas. Selamat mencuba.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: