Gambus

Konsert Mini Ghazal Gambus@Johor meriah

BATU PAHAT: Kira-kira 1,000 penduduk sekitar daerah ini menghadiri Konsert Mini Ghazal Gambus@Johor di Dataran Penggaram, dekat sini, malam tadi.

Konsert yang berlangsung meriah itu adalah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor dan Pejabat Daerah Batu Pahat menerusi program Mysenibudaya.

Pengarah Yayasan Warisan Johor, Mohd Shahrin Rahmat, berkata konsert itu diadakan bagi menghimpunkan penggiat dan kumpulan gambus Johor, selain mendedahkan generasi muda kepada alunan muzik gambus yang menjadi identiti negeri.

“Konsert sebegini juga menjadi tarikan pelancong yang menyerlahkan seni dan budaya Johor, sekali gus memberi impak kepada industri pelancongan tempatan.

“Malah, ia mampu menjana pendapatan kepada penggiat seni dan penduduk tempatan,” katanya sebelum konsert berlangsung.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas dan Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mesran Mohd Yusof.

Pada konsert itu, pengunjung dihiburkan oleh tujuh kumpulan muzik ghazal dan gambus dalam lima segmen membabitkan lagu Timur Tengah, gambus nusantara, lagu tradisional membabitkan inang, asli, zapin dan ghazal serta persembahan gambus pelbagai kaum dengan selingan tarian zapin.

Persembahan diakhiri dengan penampilan istimewa Fauziah Gambus serta artis terkenal tanah air, Ramlah Ram, yang menyampaikan medley lagu ghazal dan asli Melayu.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: