Android Tv2

Larang Kotak TV Android, Siapa Yang Untung Sebenarnya?

Menurut laporan The Star, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mempertimbangkan tindakan melarang penggunaan kotak TV android di kalangan pengguna di Malaysia seperti dilakukan Singapura.

Pengerusi SKMM Ishsal Ishak berkata, penjualan dan pemilikan kotak TV android menggalakkan penstriman kandungan cetak rompak di negara ini.

“Terdapat dua cara melihat perkara ini. SKMM kini melihat kepada aspek teknikal kotak-kotak (TV android), di mana ia perlu mendapat kelulusan SIRIM. “Berhubung kandungannnya, sekiranya terdapat elemen pelanggaran hak cipta yang termaktub di bawah Akta Hak Cipta,” ujarnya.

Cadangan pengharaman tersebut dikatakan akan termasuk dalam pindaan kepada Akta Hak Cipta Malaysia untuk dibentang di Parlimen tahun ini. Susulan cadangan SKMM, Bahagian Penyelidikan Maybank Investment Bank (IB) mengesahkan bahawa penggunaan kotak TV android merumitkan ppembekal siaran TV berbayar di Malaysia dan Singapura.

“Sekiranya Malaysia meluluskan peraturan serupa, kami percaya ia akan menjadi pemangkin utama kepada Astro,” kata seorang penganalisa sambil menambah bahawa Astro bakal meraih untung sekiranya Malaysia mengikut langkah itu.

Di Malaysia, netizen menyuarakan kemarahan berikutan apa yang mereka lihat sebagai campur tangan kerajaan. Ada juga berpandangan, ianya langkah ke belakang yang akan membuka ruang kepada amalan monopoli dalam perniagaan.

Tidak kurang juga yang berpandangan bahawa larangan penggunaan kotak TV android merupakan satu lagi contoh dasar fahaman perlindungan kerajaan di mana saingan stesen TV berbayar di Malaysia akan dicantas. Malah, secara sinis ada juga pengkritik yang menyamakan situasi ini mirip konflik di antara pemilik teksi dengan syarikat e-hailing.

Namun, dari sudut pandangan lain SKMM mungkin ingin mempertingkatkan usaha bagi melindungi hak-hak harta intelek (intellectual property) di mana jenayah harta intelek merupakan masalah global yang boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada negara.

Kotak TV android seringali diiklankan sebagai peranti yang fully loaded atau jailbroken. Ia dipasang dengan aplikasi Kodi yang boleh didapati secara percuma bagi membolehkan pengguna memainkan dan menstrim kandungan video. Pada dasarnya, Kodi adalah perisian yang tidak menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, penggunaan peranti TV android menyalahi undang-undang apabila pengguna menstrim siaran TV, filem dan rancangan sukan tertentu tanpa membayar yuran langganan. Ini dilakukan dengan menggunakan aplikasi ataupun add-ons tidak rasmi.

Selain itu, kandungan kotak TV android boleh mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak yang menonton siaran dicemari dengan kandungan tidak sesuai tanpa pengawasan ibu bapa.

Pengguna yang mahu menonton siaran berbayar premium seharusnya melanggan terus dengan pembekal rasmi serta menjauhi mana-mana perkhidmatan yang menawarkan kaedah mengelakkan bayaran.

Bagi pengguna yang ragu-ragu samada filem yang ditonton secara online adalah percuma, mereka boleh melayari laman sesawang findanyfilm.com yang memberi maklumat tentang cara menonton, membeli, menyewa atau menempah tiket secara selamat dan sah.

Akhir kata, sekiranya sesuatu laman web atau aplikasi menawarkan filem secara percuma sedangkan ia masih ditayang di pawagam, besar kemungkinan ianya menyalahi undang-undang.

Jadi apa kata anda? Adakah penggunaan kotak TV android perlu dilarang?

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: