Liga Perdana 2018: JDT II diikat UiTM FC 2-2
Johor Darul Ta’zim II (JDT II) terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 dengan UiTM FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.
Walaupun JDT II diperkuatkan Aidil Zafuan Radzak, Fazly Mazlan, Syafiq Ahmad dan Darren Lok dari skuad utama JDT, ia masih belum mampu menjelmakan kemenangan buat skuad kendalian Benjamin Mora.
[AdSense-B]Seawal minit pertama, sudah ada gerakan berbahaya dicipta tuan rumah apabila bola sepakan lintang Damasceno Murilo hampir ditanduk Syafiq namun gagal menyambar peluang terhidang itu.
Hasil sepakan percuma Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-14 menyaksikan Syafiq bijak melepasi perangkap ofsaid dan mudah menanduk bola menewaskan penjaga gol, Soffuan Tawil.
UiTM FC terus menderita pada minit ke-30 selepas tuan rumah mencipta gol kedua hasil lorongan cantik Nicolas Fernandez di celah pemain pertahanan pelawat yang membuka ruang buat Darren merembat leret menewaskan Soffuan.
Kesilapan Aidil gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hampir memberi ruang buat pelawat merapatkan jurang gol pada minit ke-36, namun rembatan leret Lucas Pugh sipi dari gawang gol ketika penjaga gol, Samuel Sommerville sudah tertewas.
Benteng tuan rumah akhirnya roboh pada minit ke-69 selepas Pugh yang tidak dikawal berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum menolak bola leret menewaskan Sommerville.
Ketika aksi berbaki enam minit, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dechi Marcel dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil Muhammad Nasruddin Tamrin.
Namun ia tidak menghalang anak didik Wan Mustaffa Wan Ismail untuk bangkit menyamakan jaringan pada minit akhir selepas bola rembatan kencang pemain gantian Nur Areff Kamarudin terkena palang sebelum menerjah masuk.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: JDT Enggan Mendabik Dada