Selangor 2 Jdt 1

Liga Super 2017: Selangor 2 JDT 1, Kalah Di Pertempuran Menang Dalam Peperangan

JDT meneruskan misi menjuarai Liga Super 2017 apabila berkunjung ke Selayang untuk bertemu pasukan Selangor. Seperti biasa JDT tampil dengan kesebelasan utama terbaik mereka dengan menurunkan gandingan 3 serangkai Natxo Insa, Safiq Rahim dan Afiq Fazail untuk mengemudi bahagian tengah.

Ketiadaan Marcos Antonio yang mengalami kecederaan ditampung Aidil Zafuan. Gandingan 3 import Gonzalo Cabrerra, Gabriel Guerra dan Mohammad Ghaddar menerajui bahagian serangan. JDT hadir untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal di Selayang. Ulisess Morais seperti biasa menggunakan formasi 4-3-3 buat pasukan JDT.

Bagi Selangor pula, P. Maniam menampilkan formasi 3-4-1-2 untuk anak-anak buahnya. Andik Vermanshah direhatkan kerana kurang cergas. Razman Roslan bertindak selaku kapten digandingkan bersama Adam Nor Azlin dan Ugo Ukah dibarisan pertahanan.

[AdSense-B]

Bekas pemain JDT Amri Yahya mempunyai tanggungjawab untuk menggempur pertahanan JDT bersama Forkey Doe. Selangor melaungkan bahawa mereka tidak rela JDT memiliki kejuaraan di halaman mereka.

SEPARUH MASA PERTAMA

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan cukup berhati-hati. JDT melakukan serangan pertama pada minit ke-3, apabila Guerra yang bergerak di sebelah kanan melakukan lorongan buat Kunalan yang melakukan ‘crossing’ namun gagal disempurnakan Safiq Rahim. Natxo Insa cuba mengambil kesempatan dari keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti namun mudah ditangkap Norazlan Razali.

JDT memperolehi sepakan percuma pada minit ke-10, apabila Gonzalo Cabrerra yang cuba menggelecek 3 pemain dijatuhkan pertahanan Selangor. Guerra yang mengambil sepakan tersebutgagal menyempurnakan apabila sepakan beliau di tampan pertahanan Selangor untuk sepakan penjuru. Sepakan penjuru yang diambil Safiq Rahim pada minit ke-11, ditanduk Fadhli Shas namun tersasar.

Selangor yang cuba melakukan serangan balas memperolehi sepakan penjuru pada minit ke-16. Sepakan yang di ambil Namathevan ke ‘far post’ gagal disempurnakan.

Selangor sekali lagi memperolehi peluang apabila Forkey Doe  menerima lorongan Syahmi Safari pada minit ke-19. Walaubagaimanapun rembatan Forkey Doe jauh tersasar.

JDT kembali mengatur serangan melalui ‘build up play’ yang baik melalui hantaran-hantaran pendek. Walaubagaimanapun serangan-serangan tersebut mudah dipatahkan apabila Selangor melakukan ‘pressing’ terhadap barisan tengah JDT.

Pemain Selangor, Ugo Ukah dilayangkan kad kuning pertama pada minit ke-26, apabila beliau menendang tangan Izham Tarmizi yang cuba melakukan lontaran kepada rakan sepasukan. Selangor hampir menjaringkan gol pertama pada minit ke-27 apabila Amri Yahyah yang menerima hantaran bola tinggi melakukan satu sepakan ‘volley’ namun bola terlalu tinggi.

[AdSense-B]

Selangor sekali lagi mempunyai peluang pada minit ke- 30, kali ini melalui ‘counter attack’. Walaubagaimanapun gerakan bersama Syahmi Safari dan Amri Yahyah gagal disempurnakan Forkey Doe apabila sepakannya tepat kepada Izham Tarmizi.

Kad kuning pertama buat pasukan JDT dilayangkan kepada Afiq Fazail pada minit ke-34 selepas beliau menjatuhkan S. Veenod di sebelah kanan pertahanan Selangor.

selangor vs jdt natxo insa

Natxo Insa akhirnya memecah kebuntuan apabila beliau melakukan rembatan kencang ke arah penjuru atas sebelah kanan gol yang menewaskan Norazlan Razali untuk gol pertama JDT pada minit ke-39.

JDT hampir menggandakan jaringan pada minit ke-43 apabila Guerra yang melakukan rembatan leret yang kencang sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol Selangor.

Pembantu pengadil memberikan tambahan masa 1 minit dipenghujung perlawan. Selangor cuba memanfaatkan tambahan masa tersebut apabila Forkey Doe mempunyai peluang namun berjaya diselamatkan Izham Tarmizi. Separuh masa pertama perlawanan berakhir dengan pasukan pelawat mendahului dengan kelebihan 1 jaringan.

SEPARUH MASA KEDUA

Separuh masa bermula dengan JDT melakukan serangan, JDT memperolehi sepakan percuma pada minit ke-47 apabila kelincahan Cabrerra dihalang Namathevan. Sepakan yang diambil Safiq Rahim berjaya ditumbuk Norazlan Razali.

Selangor bertindak balas apabila Forkey Doe menerima hantaran tinggi Razman Roslan di pintas S. Kunalan pada minit ke-48. Peluang terbaik Selangor diperolehi oleh Amri Yahyah pada minit ke-51. Beliau yang menerima lorongan Namathevan merembat deras kearah pintu gol namun ditampan Izham Tarmizi.

[AdSense-B]

Pertukaran pertama dilakukan JDT pada minit ke-56 dengan mengeluarkan Afiq Fazail dan memasukkan Junior Eldstail untuk menguatkan bahagian pertahanan.

Selangor memperolehi gol penyamaan pada minit ke-59 apabila Syahmi Safari pantas melakukan lontaran ke dalam sebelum dirembat Amri Yahyah untuk menewaskan Izham Tarmizi.

Peluang buat JDT hadir pada minit ke-65. Kali in Gonzalo Cabrerra cuba melakukan sepakan lencong ke arah pintu gol namun berjaya dibaca Norazlan Razali.

Pertukaran kedua dilakukan JDT pada minit ke-68 dengan menggantikan Mohammad Ghaddar yang agak tenggelam pada perlawanan ini dengan memasukkan Hazwan Bakri. Selangor pula melakukan pertukaran pertama pada minit ke-71 dengan memasukkan Andik Vermanshah bagi menggantikan Saiful Redzuan Selamat.

Hazwan Bakri mempunyai ruang dan melakukan rempatan pada minit ke-73. Walaubagaimanapun rembatan dari sebelah kiri gawang tersebut berjaya ditangkap Norazlan.

Selangor yang berjaya bangkit sekali lagi mengecewankan pasukan JDT apabila Andik Vermanshah melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk gol kedua Selangor pada minit ke-78.

JDT yang tersentak melakukan serangan balas memperolehi sepakan penjuru pada minit ke-80. Sepakan yang diambil Safiq Rahim ditanduk Aidil Zafuan namun terkena palang. Natxo Insa yang melakukan sepakan susulan Berjaya ditepis penjaga gol Selangor.

JDT memasukkan Nazmi Faiz pada mint ke-81 dang mengeluarkan Aidil Zafuan untuk menguatkan semula barisan serangan.  Nazmi yang baru masuk terus dilayangkan kad kuning pada minit ke-82 selepas menjatuhkan K. Kannan.

JDT yang menggandakan serangan gagal menemui penyudah apabila pertahanan Selangor berjaya menutup segala ruang.

JDT sekali lagi memperolehi sepakan percuma pada minit ke-89 apabila Amri Yahyah menjatuhkan Guerra. Sepakan yang diambil Safiq Berjaya ditampan Norazlan. Cabrerra cuba melakukan sepakan susulan namun sekali lagi dinafikan Norazlan Razali.

[AdSense-B]

3 minit masa tambahan diberikan pembantu perlawanan.  Selangor dilihat melengah-lengahkan permainan untuk mengekalkan kedudukan. Wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Khairul Idham Kidam dan perlawanan berakhir dengan kemenangan 2-1 buat tuan rumah.

Walaupun tewas dalam perlawanan ini, JDT masih dinobatkan selaku juara Liga Super 2017 buat kali ke-4 berturut-turut apabila pencabar utama Kedah juga tewas 1-2 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur.

Baca juga: Siapakah Pemain JDT Yang Menjulang Piala Liga Super Paling Banyak?

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: