Lucas Ontivero

Lucas Ontivero Sertai JDT II

Selepas penyerang Brazil, Jorge Silva, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan seorang lagi pemain dari benua Amerika Selatan akan menyertai kelab itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang akan dibuka minggu depan.

Lucas Ontivero, yang juga pemain sayap dari Argentina bagaimanapun akan diserap ke JDT II dalam usaha mereka untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana musim ini.

[AdSense-B]

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dalam kenyataannya di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, hari ini mengesahkan bintang muda berusia 23 tahun itu akan didaftarkan pada jendela perpindahan nanti.

“JDT mengalu-alukan kehadiran pemain muda berusia 23 tahun dari Argentina, Lucas Elias Ontivero untuk memperkuatkan lagi pasukan. Dia akan menyertai kami dan diserapkan ke JDT II apabila jendela perpindahan dibuka nanti.

“Pemain yang pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti Independiente, Galatasaray, Montreal Impact, Venados FC dan Chacarita Juniors akan bersama kami memburu kejayaan demi kejayaan buat JDT pada masa akan datang,” kata Prest.

[AdSense-B]

Prestasi JDT II menjunam teruk musim ini dan berada di kedudukan tercorot liga apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam sembilan perlawanan dan hanya seri empat kali.

Terdahulu, Prest mengumumkan Silva sebagai pemain terbaru JDT yang akan menyertai skuad Liga Super mereka pada jendela perpindahan yang akan dibuka Isnin ini hingga 3 Jun depan.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Pemain Baru JDT 2018: Jorge Santos Silva

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: