Menurut Kajian, Tempat Kerja Jauh Antara Punca Cepat M4ti
Ada dikalangan kita yang tempat kerjanya jauh dari tempat tinggal, ada yang sehingga memakan masa setengah jam, dan ada juga sehingga 1 jam. Walaupun begitu, demi mencari rezeki halal, mereka sanggup bangun awal untuk pastikan perjalanan berjalan lancar.
Mungkin kerana faktor tidak cukup tidur membuatkan ada kajian mengatakan bahawa kerja di tempat jauh antara sebab mengapa umur tidak panjang! Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro ada berkongsi sedikit maklumat berkaitan itu,
“Baru-baru ini seorang rakan menghantar satu keratan akhbar ke grup WhatsApp alumni sepersekolahan kami yang sama-sama belajar di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru kira-kira 38 tahun yang lalu. Tajuk berita dalam keratan akhbar yang dihantar itu bertajuk ‘M4ti awal jika kerja jauh’.
Berita berasal dari Stockholm, Sweden dan bertarikh pertengahan April itu menyatakan bahawa mereka yang melakukan perjalanan berulang-alik ke tempat kerja sejauh lebih daripada 48.2 kilometer sehari cenderung untuk m4ti lebih awal berbanding mereka yang tinggal berhampiran dengan tempat kerja.
Yang menariknya, penemuan atau kajian ini didedahkan oleh seorang ahli geografi dari Universiti Umae, Sweden bernama Erika Sandow. Menurut pakar geografi itu, pekerja yang tinggal jauh dari tempat kerja berkemungkinan lebih mudah mendapat penyakit darah tinggi, masalah jantung dan mengalami depresi akibat tekanan pekerjaan.
Mereka yang terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari itu turut bakal mengambil lebih banyak cuti sakit dan bertambah berat badan. Kajian turut mendedahkan bahawa masalah itu akan turut memberi kesan dalam hubungan keluarga si mangsa, terutamanya wanita.
Saya melihat hasil kajian ini dengan perasaan yang agak skeptikal. Pertamanya, ia dibuat oleh seorang ahli geografi, bukan oleh pakar perubatan atau ahli psikologi yang sememangnya memahami hal-hal berkaitan penyakit dan punca-punca yang boleh membawa kematian kepada manusia.
Keduanya, rumusan yang dibuat adalah terlalu umum dan mudah tanpa disokong oleh statistik yang sesuai seperti umur mereka yang dibuat kajian, jantina dan jenis pekerjaan mereka yang dibuat kajian. Ketiadaan faktor-faktor ini menyebabkan teori atau hasil kajian ini (jika ia memang benar-bebar dibuat) menjadi lemah.
Ada banyak faktor lain yang menjadi punca kepada penyakit darah tinggi dan masalah jantung. Paling utama adalah faktor keturunan, pemakanan seseorang dan gaya hidup yang dilalui adalah penentu utama penyakit berbahaya ini dihidapi oleh seseorang.
Mereka yang menjaga pemakanan dengan tidak mengambil banyak makanan berlemak, tidak merokok dan menjauhi alkohol akan rendah risiko menghidap penyakit yang menjadi pembunuh utama rakyat negara kita ini. Mengamalkan gaya hidup sihat dengan sering bersenam akan terus menurunkan lagi risiko terhadap penyakit berkaitan.
Berbalik isu perjalanan jauh ke tempat kerja, ia bukanlah perkara luar biasa di negara kita, malah ia sebenarnya adalah fenomena sejagat. Di Jepun, sebahagian besar pekerja dan kakitangan syarikat di bandar raya utamanya seperti Tokyo dan Yokohama dikatakan tidak tinggal di dua pusat bandar raya utama itu.
Dengan sistem pengangkutannya yang cekap dan murah, pekerja dan petugas di dua bandar ini sebaliknya tinggal jauh hingga beratus-ratus kilometer dari tempat mereka bekerja. Di Jakarta, dikatakan setiap hari kira-kira tiga juta warganya berulang-alik sejauh puluhan kilometer dari Bandung, Bogor dan beberapa kawasan sekitar ibu negara Indonesia itu untuk mencari rezeki.
Di Malaysia pula, tinggal jauh dari tempat kerja bagaikan suatu perkara biasa normal dan biasa pada masa ini. Dengan rangkaian lebuh raya yang baik dan sistem pengangkutan yang semakin cekap, kini ramai pekerja yang bertugas di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Klang membeli rumah dan tinggal di Ipoh, Seremban, Temerloh dan Melaka. Mereka berulang-alik setiap pagi dan petang setiap hari dari bandar-bandar ini ke ibu negara.
Bertugas di kota dan tinggal di luar bandar adalah pilihan yang terbaik untuk sesetengah mereka ini. Faktor ekonomi, terutamanya harga dan sewa rumah di kawasan bandar menjadikan tindakan mereka lebih masuk akal dan bijak.
Malah saya pernah mendengar cerita mengenai sekumpulan empat lelaki yang bertugas di Subang Jaya tetapi berulang-alik setiap hari dari Muar, Johor. Saya ulang, mereka berulang-alik setiap dari Muar, Johor ke Subang Jaya selama bertahun-tahun!
Untuk pengetahuan pembaca semua, rakan saya yang menghantar keratan berita mengenai ‘m4ti awal jika kerja jauh’ di grup WhatsApp kami tadi sebenarnya jauh lebih hebat. Tempat bertugas hakikinya terletak di Johor Bahru, manakala dia tinggal di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Ini bermakna pejabatnya terletak lebih 370 kilometer dari tempat tinggalnya.
Cuma, saya kurang berasa kagum kerana kebanyakan masanya ketika dalam perjalanan setiap hari dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya, dia hanya tidur. Sebabnya, semua tugas memandu dilakukan oleh pemandu beliau!”
Apa yang paling penting adalah penjagaan kesihatan, sememangnya jarak dari rumah ke tempat kerja mempengaruhi masa, apatah lagi apabila jaraknya yang terlalu jauh sehingga memerlukan masa yang lama untuk sampai kerumah. Dan disebabkan itu, kurang rehat dan juga kurang tidur boleh menganggu kesihatan anda.
Jika anda mengalami penyakit kronik, sebaiknya cari tempat kerja yang berdekatan dengan anda. Bukan sahaja anda dapat menjimatkan masa, tidur anda tidak terganggu, malah anda juga tidak akan tertekan.