Mifa Menang

MIFA kejutkan JDT di Stadium Larkin

JOHOR BAHRU: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas mengejut kepada pasukan Liga Perdana, MIFA 1-2 pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Walaupun JDT menguasai perlawanan dan sering mengasak ke kubu pelawat namun kegagalan menterjemahkan setiap gerakan berbahaya dengan jaringan ternyata mengundang padah buat juara Liga Super lima musim berturut-turut itu.

Percubaan pertama tuan rumah hadir seawal minit kedua selepas bola lontaran jauh Corbin Ong tepat kepada Fernando Marques namun tandukan pemain import dari Argentina itu sekadar melewati palang gol.

Ahmad Hazwan Bakiri juga tidak mahu melepaskan peluang untuk memberi tekanan kepada pelawat selepas bertindak merembat bola leret pada minit kelima namun penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad sempat merebahkan badan dan menangkap bola kemas.

Ketika aksi memasuki minit ke-18, pelawat melakar kejutan apabila kesilapan kapten Marcos Antonio yang gagal menghalang kelicikan Kpah Sherman bertindak pantas menyepak bola lencong tepat ke penjuru kanan gol yang menewaskan Farizal Marlias.

Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Raul Longhi menggandakan asakan namun tampak begitu sukar melepasi benteng pelawat yang memilih untuk `berkampung’ di kawasan sendiri bagi mempertahankan kedudukan 1-0.

Tuan rumah mula meningkatkan tempo permainan pada babak kedua namun peluang terbaik untuk menyamakan jaringan terlepas begitu saja selepas bola sepakan percuma Ahmad Hazwan dari luar kotak penalti pada minit ke-61 sekadar melepasi palang gol.

Berpunca daripada bola lontaran Corbin menyebabkan terkena tangan kapten B Tinagaran pada minit ke-69 menyaksikan pengadil perlawanan Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Marquez yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu tenang menyepak bola menewaskan Mohd Muhaimi untuk mengikat kedudukan 1-1.

Namun pelawat yang melancarkan serangan balas pada minit ke-80, memerangkap benteng tuan rumah selepas gerakan menarik L’Iman Seydi membuka ruang untuk Bae Beom-guen melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Farizal untuk melakar kejutan ke atas JDT.

SUmber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: