Jdtkl

Misi balas dendam JDT selesai

JOHOR BAHRU: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menebus kekalahan yang dialami pada saingan pusingan pertama selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan mencipta rekod peribadi pungutan mata tatkala berjaya mengumpul 59 mata pada musim ini, memperbaiki pencapaian pada musim 2016 selepas mengutip 58 mata.

Tuan rumah yang kerap mengasak ke kubu pelawat hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-12 namun bola sepakan percuma Safawi Rasid hanya sipi di penjuru kanan gawang gol Kuala Lumpur.

Asakan berterusan tuan rumah nyata sukar dibendung benteng pelawat dan hasilnya selang dua minit gol tercipta menerusi gerakan Gonzalo Cabrera yang hantarannya disambar Fernando Marquez untuk menewaskan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee.

Pelawat cuba bangkit untuk menyamakan jaringan namun sepakan percuma Paulo Josue dari jarak 30 meter tidak mengancam gawang gol tuan rumah selepas mudah ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Raul Longhi tidak menunggu lama untuk menambah derita anak didik Fabio Maciel pada minit ke-48 apabila bola hantaran jauh Cabrera membuka ruang buat Marquez mencetak gol kedua peribadi apabila mudah menewaskan Sharbinee.

Safawi hampir mencipta jaringan pada minit ke-53 apabila berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan lawan namun gagal melakukan penyudah tepat apabila merembat bola melepasi palang gol.

Skuad Warga Kota yang beraksi tanpa kelibat Guilherme de Paula dan Indra Putra Mahayuddin ternyata tampak tumpul di barisan serangan tatkala gandingan Ashri Chuchu dan Zaquan Adha Abd Radzak begitu tumpul dan langsung tidak mengugat benteng tuan rumah.

Kedudukan 2-0 yang memihak JDT sudah cukup buat juara liga lima musim berturut-turut melabuhkan tirai liga elit domestik dengan penuh bergaya pada musim ini dan akan beralih tumpuan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang bermula awal bulan depan.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: