Lucho

Misi wajib menang buat JDT dan Figueroa

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) tiada pilihan lain kecuali menang pada baki dua perlawanan saingan Kumpulan C jika mahu mengekalkan Piala Malaysia yang dimenangi mereka musim lalu.

JDT yang bertandang ke Alor Setar untuk berdepan Kedah pada aksi kelima kumpulan di Stadium Darul Aman, Jumaat ini, meletakkan sasaran wajib menang dan tidak boleh tewas dan senario itu bagaikan aksi `final’ buat skuad bimbingan Luciano Figueroa dan Benjamin Mora.

Selaku pengurus pasukan, Figueroa sedar ia tugas rumit untuk barisan pemainnya kerana bakal berdepan tentangan sengit skuad kendalian penolong jurulatih, Azzmi Ab Aziz tatkala kelebihan terletak pada skuad Helang Merah yang beraksi di laman sendiri.

Beliau yang juga ketua jurulatih JDT berkata, kemenangan 5-1 pada aksi pusingan pertama di Larkin tidak boleh dijadikan ukuran memandangkan Kedah ketika itu turun dengan barisan kedua tanpa kelibat beberapa tonggak utama dan pasti apabila berdepan JDT, pasukan itu akan kembali diperkuatkan dengan kesebelasan terbaik.

“Kedah hampir pasti akan menurunkan Baddrol (Bakhtiar), Rizal (Ghazali) dan Akhyar (Rashid) apabila melayan kunjungan kami dan saya mengingatkan setiap pemain supaya berwaspada dengan ancaman terutama dari aspek serangan pantas Kedah.

“Kami juga lega kerana mendapat semula khidmat Safawi Rasid dan dia akan memperkuatkan posisi sayap kanan selain kehadiran Adam Nor Azlin yang pulang dari Sukan Asia, Jakarta-Palembang, Indonesia dan akan menambah pilihan pemain pertahanan.

“Kami sedar ketajaman barisan serangan perlu dipertingkatkan dan ia bukanlah masalah besar bagi JDT kerana sepanjang latihan, kami sentiasa memperbaki bukan sahaja di posisi serangan malah posisi tengah dan pertahanan,” katanya.

JDT kini menghuni tangga kedua selepas mengumpul enam mata namun persaingan merebut dua slot ke pusingan kalah mati tampak masih terbuka antara MIFA (tujuh mata), Kedah (lima mata) dan Kelantan (empat mata) ketika keempat-empat pasukan masih memiliki baki dua perlawanan.

Justeru, Figueroa menganggap baki dua aksi saingan kumpulan ibarat `final’ buat skuad Harimau Selatan dan tidak boleh keciciran mata malah prestasi kurang konsisten ketika ini dengan hanya menewaskan Kelantan 1-0, Sabtu lalu, perlu diperkemaskan untuk berdepan Kedah.

Menurutnya, ketika saingan Liga Super, JDT pernah menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Darul Aman dan ia akan dijadikan azimat buat setiap pemain yang bakal diturunkan untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Menentang Kedah di laman mereka sendiri sememangnya sukar bukan sahaja kepada JDT malah semua pasukan yang bertandang ke sana. Selaku juara bertahan, kami ada misi tersendiri iaitu cuba mempertahankan kejuaraan itu.

“Apa pun, kami tidak boleh berada dalam tekanan dan ingin mengekalkan momentum kemenangan tatkala ada baki dua perlawanan lagi. Oleh itu kami akan beraksi seperti biasa dan berusaha mengelak Kedah mengambil kesempatan hingga mengagalkan usaha kami mengutip tiga mata,” katanya.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: