Morais yakin JDT hampiri kejuaraan
Berpesta gol 6-1 mengatasi T-Team di Kuala Terengganu, malam tadi, sudah cukup meyakinkan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais, bahawa mereka semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super.
Kemenangan kelima berturut-turut itu menyaksikan JDT berkelebihan 11 mata mengatasi pencabar terdekat, Kedah, dengan baki lima perlawanan.
Justeru, menurut Morais, segala-galanya kini di tangan kelab itu untuk memastikan trofi Liga Super kekal di Larkin selain memberi cabaran dalam Piala Malaysia.
[AdSense-B]“Kami hanya perlu bergantung kepada diri sendiri dan kalau boleh, JDT mahukan (kejuaraan) dalam perlawanan seterusnya di depan ribuan penyokong,” ujarnya.
Berdepan T-Team, JDT berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi sejak awal permainan dan mendahului 3-0 dalam babak pertama hasil jaringan Gabriel Guerra (m-22), Mohamad Ghaddar (m-40) dan S. Kunanlan (m-43).
Guerra menambah koleksi jaringan pada minit ke-58 sebelum Mohd Fadhli Shas (m-77) dan Gonzalo Cabrera (m-81) menjadikan kedudukan 6-0.
Gol sagu hati tuan rumah hanya diperoleh menerusi sepakan penalti Yannick N’Djeng pada minit ke-83.
Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, pula menyifatkan mereka harus menyalahkan diri sendiri dengan kesilapan mudah yang mengakibatkan tiga gol pertama pasukan lawan.
Katanya, kelonggaran jentera tengah juga menjadi punca T-Team dihukum keberkesanan JDT memanfaatkan peluang terhidang.
[AdSense-B]“Apa yang dirancang tidak berjalan seperti diharapkan dan JDT bermain sangat baik dengan memberi tekanan kepada kami,” tambah Rahmad.
Sumber: Stadium Astro
Baca juga: VIDEO RANGKUMAN: Liga Super 2017, T-Team 1 Johor DT 6