Natxo Insa

Natxo Insa Sedia Sarung Jersi Malaysia

Tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa menamatkan tanda tanya apabila menegaskan sudah bersedia menyarung jersi Malaysia bagi memperkuatkan cabaran skuad kendalian Nelo Vingada.

Namun, perancang utama kelahiran Sepanyol yang sudah mendapat kerakyatan Malaysia itu hanya mahu mula dipanggil pada musim depan selepas menempuh musim yang agak sibuk bersama kelabnya sepanjang musim ini.

[AdSense-B]

Untuk rekod, Natxo mula menyertai JDT pada pertengahan tahun ini selepas berhijrah dari Levante yang menyaksikan abang kepada tonggak Pahang, Kiko Insa ini beraksi sejumlah 56 perlawanan sepanjang musim ini.

“Saya juga manusia biasa yang perlukan rehat secukupnya. Ikutkan fizikal saya tiada masalah, cuma fikiran saya memerlukan rehat dengan bercuti selepas mengharungi musim yang mencabar.

“Saya bersedia membantu Malaysia dalam aksi antarabangsa bermula tahun depan dan berharap skuad negara dapat meraih keputusan positif apabila bertemu Korea Utara nanti,” katanya.

Sebelum ini, ketiadaan Insa dalam senarai pemain kebangsaan sering menjadi tanda tanya biarpun dia berjaya membentuk kombinasi mantap bersama ketua pasukan negara, Safiq Rahim di JDT.

[AdSense-B]

Malah, adiknya sendiri Kiko sudah berjaya meraih kap pertama ketika beraksi menentang Syria dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Melaka 22 Ogos lalu dengan kini sudah mengumpul empat kap.

Malaysia bakal mengharungi dua aksi getir berdepan Korea Utara di Buriram, Thailand dalam kelayakan Kejohanan Piala Asia 2019 pada 10 dan 13 November ini.

Natxo Insa PFAM

“Sebenarnya saya teruja untuk bermain di peringkat antarabangsa. Saya tak pernah dapat peluang dan ini kesempatan terbaik saya merasai pentas antarabangsa bersama pasukan negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: FAM Mahu Teliti Laporan Penuh Dari Pengadil Sebelum Mengambil Tindakan Terhadap Safiq

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: