Negeri Sembilan N

Negeri Sembilan Tak Gentar Reputasi JDT

Skuad Negeri Sembilan tidak akan menjadikan jurang antara mereka dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai halangan untuk mendapatkan keputusan positif dalam saingan Liga Super, di Stadium Larkin, Rabu ini.

Sebaliknya, pemain pasukan itu akan tetap fokus dan berazam untuk tampil dengan kekuatan baharu di bawah bimbingan pengendali Mario Lemos sekali gus mengembalikan semula maruah selepas hasrat mendapatkan kemenangan pada lapan perlawanan terakhir liga sebelum ini tidak kesampaian.

[AdSense-B]

Pertahanan pasukan itu, Mohd Rizal Fahmi Rosid berkata, dia dan rakan sepasukan akan tetap fokus kepada usaha mempamerkan kebangkitan, walaupun sedar skuad Harimau Selatan, memiliki reputasi besar selain kelebihan beraksi di laman sendiri.

Bekas pemain Selangor berusia 31 tahun itu berkata, mereka akan mengambil iktibar daripada kekalahan besar 0-4 pada pertemuan pertama di Paroi, 5 Mei lalu.

“Melalui perancangan dan arahan ketua jurulatih jelas bahawa kami ke sana (Larkin) bukan untuk beraksi secara bertahan sebaliknya mengubah corak persembahan dengan melakukan lebih banyak serangan bagi mendapatkan gol.

“Walaupun kami sedar, JDT adalah pasukan terkuat dalam liga ketika ini, tetapi bukan suatu yang mustahil untuk kami menafikan kehebatan mereka dan seterusnya mendapatkan keputusan yang baik,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rizal Fahmi akui pemain skuad Hobin Jang Hobin perlu tingkatkan disiplin dalam permainan dan mematuhi setiap arahan jurulatih untuk mengelak kesilapan mudah yang boleh membawa padah.

[AdSense-B]

Malah dia sedar, JDT sudah pasti akan mengekalkan aksi pantas mereka untuk mendapatkan gol.

Justeru itu, pemain Negeri Sembilan perlu sentiasa bersedia mengekang setiap pergerakan dan asakan serangan lawan yang boleh menjaringkan gol dalam situasi sukar.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: